Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan meneruskan operasi membanteras umat Islam yang tidak menghormati Ramadan seperti makan dan minum secara terbuka, dan merokok di khalayak ramai sepanjang Ramadan kali ini.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Rozali Salleh (gambar kiri) berkata, JHEAT melalui bahagian penguat kuasanya akan bergerak secara aktif sepanjang Ramadan, terutamanya kawasan ‘panas’ dalam usaha membendung gejala tidak sihat itu.
Malah katanya, mereka yang ditangkap akan berdepan tindakan keras iaitu didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19 kerana tidak menghormati Ramadan.
“Jika ditangkap, mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan didapati menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu atau didapati secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, akan didakwa.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya semalam.
Menurutnya, berdasarkan tahun-tahun sebelumnya, jumlah mereka yang tertangkap seluruh negeri ini adalah kurang daripada 10 orang.
Katanya, ia mungkin disebabkan kesedaran orang ramai mengenai kewajipan berpuasa atau mungkin ‘kelicikan’ mereka mengelak daripada tertangkap.
Ditanya mengenai langkah bagi menyedarkan mereka yang kerap ‘ponteng puasa’ setiap kali Ramadan seperti mengusung mereka menggunakan van jenazah, beliau bagaimanapun menolak pendekatan itu.
“Pihak JHEAT sendiri lebih suka jika mereka diberi ceramah atau kaunseling mengenai kebaikan Ramadan agar terbit keinsafan. Kebiasaannya, kita nasihatkan dan beritahu mereka yang terlibat mengenai kelebihan Ramadan.
“Ia bagi memastikan mereka memahami apa itu Ramadan dan besarnya nilai Ramadan kepada umat Islam,” katanya.
Sempena Ramadan kali ini, Mohd Rozali turut menasihatkan agar seluruh umat Islam menghayati Ramadan dengan mempertingkatkan ibadat.
“Seboleh-bolehnya saya harapkan kita memenuhi malam kita dengan ibadat. Jika siang kita bekerja, malam kita bekerja dengan beribadat kepada Allah. Rebutlah 10 hari pertama yang membawa kerahmatan, 10 hari kedua yang membawa keampunan dan 10 hari yang terakhir yang melepaskan kita daripada azab api neraka,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment