Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan para pemandu bas ekspres supaya memandu dengan berhemah dan tidak menggadai nyawa penumpang pada musim perayaan ini.
Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, pemandu bas ekspres perlu mengutamakan nyawa penumpang dan tidak sekali-kali memandu laju sehingga mengundang tragedi.
Menurutnya, mereka perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Pada masa yang sama katanya, pemandu bas juga sewajarnya menjaga imej mereka agar perkhidmatan yang disediakan paling selamat untuk digunakan orang ramai.
"Sekarang ada orang fikir naik bas sudah tidak selamat. Jadi, para pemandu (bas ekspres) kena memandu dengan berhemah dan jangan pula ada yang berlumba sesama sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan sebahagian pemandu bas ekspres dari seluruh negeri ini di Ibu Pejabat JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.
Sesi perjumpaan selama lebih sejam itu adalah pertama kali diadakan untuk menyampaikan hasrat JPJ selain mendapat penjelasan dan maklum balas daripada pemandu bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri.
Abdul Rahman juga berharap agar para pemandu berkenaan menjadi 'mata dan telinga' kerajaan bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan.
Katanya, dalam masa cuba mengelak ditimpa kemalangan, mereka juga perlu segera melaporkan kepada agensi penguatkuasaan jika berlaku nahas jalan raya yang menimpa orang lain.
"Mereka boleh menjadi 'mata dan telinga' dengan segera menghubungi talian 09-6222023 (JPJ) atau 999 untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment