Friday, August 12, 2011

juara Asia, Mohd. Nafiizwan Adnan Tersingkir Pada Pusingan Kedua

Mohd. Nafiizwan Adnan - juara Asia - tersingkir pada pusingan kedua Siri Dunia Emas Terbuka Australia, semalam.

Semalam merupakan hari paling mengecewakan buat skuad skuasy Malaysia pada kejohanan Siri Dunia Emas Terbuka Australia selepas cabaran pemain lelakinya berakhir dengan penyingkiran juara Asia, Mohd. Nafiizwan Adnan pada pusingan kedua.

Kekalahan Nafiizwan - pemain kelahiran Terengganu berusia 25 tahun itu - menyusul beberapa jam selepas pemain wanita negara, Delia Arnold tersingkir pada peringkat yang sama, meninggalkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David sebagai wakil tunggal Malaysia yang akan meneruskan cabaran.

Selepas cemerlang mengetepikan pemain Hong Kong, Dick Lau pada pusingan pembukaan, Nafiizwan, yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan gagal meneruskan rentak, apabila akur kepada pilihan ketujuh, Peter Barker dari England menerusi kekalahan mudah 4-11, 2-11, 7-11.

Biarpun berjaya memahat kejayaan baru dalam kariernya dengan muncul juara Asia di Pulau Pinang, April lalu, namun beliau masih gagal mencipta impak pada peringkat lebih tinggi selepas gagal mencari gelaran dalam tujuh penampilannya tahun ini.

Pencapaian terbaik Nafiizwan sepanjang 2011 adalah melangkah ke separuh akhir dalam dua kejohanan di Kanada iaitu Sudbury Northern Ontario pada April lalu dan Talisman Energy Bankers Hall Club Pro-Am, Januari lalu.

Bagi Baker, kemenangan mudah ke atas Nafiizwan bakal menemukan dengan jaguh Mesir dan pilihan kedua, Ramy Ashour yang mara selepas mengetepikan pemain harapan tuan rumah, Stewart Boswell 11-9, 7-11, 8-11, 7-11.

Sementara itu, Delia tampak keletihan untuk menyekat kemaraan pilihan kelapan, Joelle King dari New Zealand apabila tunduk 5-11, 11-13, 9-11.

Delia, pilihan ke-13 kejohanan sebelum ini sudah dipaksa berhempas pulas ketika menumpaskan pemain Republik Czech, Olga Ertlova 5-11, 11-9, 9-11, 11-6, 11-6 pada pusingan pembukaan kelmarin, dan seakan kehabisan tenaga berdepan King.

Tumpuan Malaysia di Canberra kini terarah sepenuhnya kepada Nicol, yang akan meneruskan cabaran dengan menentang pilihan keenam dari Hong Kong, Annie Au di suku akhir hari ini.

Nicol, yang membuat penampilan pertama di Australia kelmarin hanya diberi sedikit tentangan ketika mengalahkan Emily Whitlock dari England 11-9, 11-7, 11-5.

No comments:

Post a Comment