Thursday, August 25, 2011

Kereta Ganggu Laluan Bas di Hentian MBKT

Pemandu bas melahirkan rasa tidak puas hati dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan hingga menyukarkan pengangkutan awam itu mengambil dan menurunkan penumpang di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Kuala Terengganu.

Akibat sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab meletakkan kereta di atas garisan kuning itu, ia bukan saja menyusahkan pemandu pengangkutan awam, malah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan berkenaan.

Tinjauan Berita Harian di Hentian Bas MBKT mendapati, pengguna seperti tidak peduli dengan tanda amaran kesalahan meletak kenderaan dan mengambil sikap mudah meletakkan kenderaan mereka di kawasan tidak dibenarkan.

Pemandu Bas Sani Ekspres, Hussin Ismail, 49, berkata pemandu yang meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya wajar dikenakan tindakan kerana menghalang laluan jalan keluar kenderaan awam berkenaan.

Katanya, sikap lepas tangan tidak mahu menggunakan tempat letak kenderaan berbayar mendorong pengguna menjadikan bahu jalan sebagai sasaran mereka.

"Saya mohon pihak berkuasa memantau di kawasan susur keluar terminal bas ini kerana pengangkutan awam ini memerlukan ruang luas untuk membelok keluar," katanya yang sudah 12 tahun memandu bas ekspres.

Bagi Pemandu Bas Ekspres SP Bumi, Mohd Azam Sulong, 50, sikap degil dan berani pemandu kereta mengambil kesempatan menjadikan kawasan kenderaan awam sebagai tempat letak kereta, sedangkan larangan meletak kenderaan seperti petak kuning sudah disediakan.
"Saya harap pihak berkuasa mencari alternatif menangani masalah ini supaya pengguna tidak lagi meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di tempat larangan," katanya.

Mereka ditemui selepas mengadakan perjumpaan pemandu bas ekspres bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abd Rahman Emang Anyie di Pejabat JPJ, di sini, kelmarin.

Dalam perjumpaan itu, kira-kira 30 pemandu serta pengusaha syarikat bas ekspres antaranya Transnasional, Sani Ekspres, SP Bumi, Mega Jaya, Nini Ekspres dan beberapa syarikat yang bertapak di negeri ini.

Pada pertemuan kira-kira dua jam itu, mereka diberikan taklimat peraturan dan kesalahan ketika memandu terutama ketika sambutan hari raya Aidilfitri nanti kerana majoriti perantau pulang ke kampung halaman menggunakan pengangkutan awam.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment