Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membina 123 unit rumah dengan kos lebih RM8 juta bagi memastikan masalah perumahan di bandar-bandar Ketengah dapat dikurangkan.
Pengurus Besarnya, Datuk Hamzah Ngah berkata, sebanyak 44 unit daripada jumlah itu adalah rumah kos sederhana rendah, manakala 79 unit lagi merupakan rumah mampu milik.
"Projek ini dijangka akan bermula selepas Aidilfitri ini dan dijangka siap sepenuhnya selepas 10 bulan dibina," katanya kepada pemberita selepas majlis majlis berbuka puasa bersama Ketengah di Kuala Terengganu, kelmarin.
Hamzah berkata, rumah kos sederhana rendah akan dibina di Bukit Besi Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ketengah Jaya dan Cheneh Baharu manakala rumah terus mampu milik dibina di AMBS dan Cheneh Baharu.
Katanya, ia merupakan langkah proaktif Ketengah untuk menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian dan mampu dimiliki oleh penduduk wilayahnya untuk meneruskan lagi projek pembinaan rumah-rumah baru di seluruh wilayah Ketengah yang telah terhenti sejak tahun 1999 kerana tiada peruntukan khusus untuk perumahan.
Beliau berkata, sehingga kini, Ketengah telah membina sebanyak 3,940 buah rumah di wilayahnya untuk menampung permintaan penduduknya.
Katanya, beberapa perkembangan yang sedang berlaku di wilayah Ketengah juga akan membawa kesan langsung kepada keperluan dan permintaan perumahan di Bandar Bukit Besi.
Ini termasuk projek pembinaan Kompleks Penjara, pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), pembangunan simpang Bukit Besi, penyiapan LPT (Lebuh Raya Pantai Timur) dan banyak lagi, katanya.
Selain itu, katanya, pembangunan di Bandar AMBS sendiri turut menjadi pemangkin kepada keperluan perumahan termasuklah pembinaan Asrama Berkelompok Yayasan Terengganu, Kolej Ketengah, institusi-institusi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat, polis dan JPJ.
Pada masa yang sama, beliau berkata, pembangunan pesat yang sedang berlaku di Tasik Kenyir juga telah menyebabkan keperluan perumahan meningkat dengan ketara.
Ini termasuklah bagi keperluan kakitangan Ketengah serta agensi-agensi lain yang bertugas di sekitar tasik buatan manusia itu selain petugas-petugas barisan hadapan pelancongan, lebih-lebih lagi apabila zon bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi pada akhir tahun 2012, katanya.
Justeru, Ketengah menyeru pihak pihak pemaju perumahan, syarikat-syarikat swasta dan setiap pihak agar dapat memainkan peranan membantu memajukan perumahan di wilayahnya.
No comments:
Post a Comment