Tuesday, August 2, 2011

Khunsa Musykil Diberi Kelonggaran Untuk Pilih Jantina

Golongan 'khunsa musykil' perlu mengesahkan jantina mereka dengan pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mendapatkan perintah mahkamah bagi memudahkan penukaran jantina dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Terengganu Khazan Che Mat berkata khunsa musykil atau kecelaruan jantina terjadi disebabkan sesetengah individu mempunyai dua alat kelamin sejak dilahirkan.

"Disebabkan hal ini, mereka akan keliru tentang jantina sebenar mereka dan pembedahan penukaran jantina akan berlaku disebabkan mereka tidak pasti mereka adalah wanita mahupun lelaki.

"Namun, sebelum melakukan pembedahan jantina, mereka seharusnya memohon kepada mahkamah untuk menukar jantina agar pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah dengan mudah tanpa berlaku sebarang kemusykilan kemudian hari," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Khazan berkata setelah mendapatkan pengesahan pakar perubatan, mereka mesti merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk memastikan mereka boleh membuat penukaran jantina atau tidak.

Katanya lagi, disebabkan kemusykilan tersebut, fatwa telah dibuat bagi memberi kelonggaran kepada mereka yang mempunyai masalah kecelaruan jantina dengan merujuk kepada fatwa 'khunsa musykil'.

"Saya berharap individu yang mempunyai kekeliruan atau kecelaruan jantina tidak membuat tindakan sendiri tanpa memikirkan akibatnya kerana dalam Islam secara mutlak meletakkan hukuman penukaran jantina adalah haram.

"Bagaimanapun, mereka yang tergolong dalam khunsa musykil diberi kelonggaran dengan melihat kepada alat kelamin yang lebih dominan dengan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment