Thursday, August 11, 2011

MAIDAM Larang Kutip Derma Di Tempat Awam

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu tidak akan melanjutkan tempoh membenarkan kegiatan mengutip derma di tempat-tempat awam termasuk di depan bank atau pasar raya di negeri ini sejurus selepas tempoh itu tamat pada 31 Ogos ini.

Ini bermakna mulai 1 September ini, sebarang aktiviti meminta derma di tempat tumpuan ramai itu adalah merupakan satu kesalahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman, mereka yang terbabit boleh ditahan di bawah Seksyen 90 (5) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001 yang memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama bahagian penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tiada kegiatan seumpama itu dikesan di negeri ini.

“Kita akan terus memantau dan selepas 31 Ogos ini, kita harap tiada lagi aktiviti kutip derma seperti di depan bank atau pasar-pasar di sekitar bandar raya ini dan juga di tempat lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi memeriksa pengutip derma di tempat-tempat awam di bandar raya ini dengan kerjasama bahagian penguat kuasa JHEAT kelmarin.

Wan Harujan menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan peringatan bermula Julai lalu yang melarang sebarang aktiviti mengutip derma di tempat-tempat awam di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, atas sebab-sebab tertentu yang munasabah, pihaknya mengeluarkan surat kelonggaran yang membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan sebelum tarikh tamat pada 31 Ogos ini.

“Setakat ini, ada lapan pengutip derma dari negeri ini dan dua lagi dari luar Terengganu yang menjalankan kegiatan kutip derma dan mereka mendapat kebenaran daripada MAIDAM sehingga 31 Ogos ini,” katanya.

Namun tambahnya, MAIDAM masih membenarkan kegiatan mengutip derma dengan pihak terlibat disaran menghubungi atau berkunjung ke syarikat-syarikat bagi mendapatkan sumbangan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment