Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu terpilih untuk menjadi tuan rumah Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia (FKWPM) kali kedua tahun depan.
Festival julung-julung kalinya diadakan diPoliteknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh baru-baru ini dengan jayanya.
Kesungguhan pelajar menjayakan FKWPM yang julung-julung kali diadakan itu wajar dibanggakan.
Bukan sekadar memuji, namun rata-rata peserta yang menyertai pertandingan lagu rakyat misalnya adalah terdiri daripada pelajar jurusan kejuruteraan.
Meskipun tidak mempunyai sebarang jurutari tetap mahupun latar belakang dalam bidang seni, namun kemeriahan FKWPM dalam mengangkat martabat budaya nyata jelas terserlah.
Justeru, Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof sewaktu berucap pada festival tersebut, mencadangkan penubuhan Majlis Kebudayaan Politeknik sebagai platform mengasah bakat pelajar dalam bidang keseniaan.
"Majlis ini bertujuan untuk menyelaraskan serta mengggalakkan aktiviti-aktiviti berbentuk seni budaya dan kreatif selain meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan pelajar.
"Ia akan bergerak seiring dengan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)," katanya.
Makum yang telah ditubuhkan di bawah Sekretariat Jawatankuasa Timbalan - Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni IPTA telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan serta Yayasan Warisan Johor.
Dalam pada itu, Md. Nor berkata, penganjuran FKWPM bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar Jabatan Pengajian Politeknik.
No comments:
Post a Comment