Sunday, August 14, 2011

MOU Syarikat Burung Walit Dengan LPP, Termasuk LPP Terengganu

Malaysia terus memberi tumpuan kepada sektor pertanian kerana ia bukan sahaja mampu menjana hasil eksport malah turut membantu memenuhi keperluan makanan negara, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Zainal Dahalan.

Mengambil contoh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia, Zainal berkata mereka masih memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pertanian.

"Sistem ataupun kaedah pertanian kita hari ini menjurus kepada konsep lebih intensif. Kaedah secara kecil-kecilan bukan sahaja tidak ekonomik malah kita tidak dapat selaraskan di semua peringkat.

"Sebab itulah dalam industri padi (contohnya), kita gunakan kaedah sistem pelaburan mini estet supaya dapat disatukan dalam jumlah keluasan lebih besar, menjadikan pengurusannya lebih sistematik dan teratur, seperti dalam penggunaan baja dan tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Memperingati 6 Ogos sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Pusat Bandar Damansara kelmarin.

Pada majlis itu, LPP menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat perusahaan burung walit dari Johor, Duta Sialin Biotechnology Sdn Bhd, bagi mewujudkan kerjasama dalam bidang berkenaan.

LPP diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Arpan Shah Satu, manakala syarikat berkenaan diwakili Pengarah Eksekutifnya Sia Swee Seng.

Melalui perjanjian itu, lapan cawangan LPP di seluruh negara akan menjadi pusat pengumpulan burung walit sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertubuhan Peladang (JPP) untuk dijual kepada syarikat berkenaan bagi tujuan pemprosesan, jualan dan eksport.

Lapan cawangan terbabit ialah di Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment