Pengajar memberi penerangan mengenai solat pada Kem Pemantapan Solat Murid Orang Asli di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Kerajaan negeri Terengganu menerusi agensi-agensi pelaksana sentiasa berusaha memainkan peranan serta tanggungjawab dalam melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan untuk segenap lapisan masyarakat.
Tanpa mengira golongan dan di mana sahaja mereka berada, mereka cuba ditarik bersama agar tidak terus terpinggir dan dapat menikmati bersama arus perubahan termasuk aspek sahsiah diri dan pembangunan modal insan.
Tidak ketinggalan masyarakat Orang Asli di mana mereka turut diajak menjalani suasana kehidupan lebih baik dengan penyediaan rumah, pemberian tanah dan juga peluang belajar seluas-luasnya.
Pendidikan menjadi asas paling penting dan mereka turut dibimbing untuk menghayati kehidupan Islam dengan penerapan kefahaman dan kesedaran bermula di peringkat awal.
Ini termasuklah melalui Kem Pemantapan Solat Murid Orang Asli yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan terbaru diadakan di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.
Program itu disertai seramai 109 murid Orang Asli yang terdiri daripada 58 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dan 51 lagi murid SK Sungai Pergam, Kemaman.
Kunjungan mereka itu yang dibawa menaiki dua buah bas turut diiringi lapan guru SK Sungai Berua serta enam guru SK Sungai Pergam, Kemaman juga memberi pendedahan lebih laus kepada mereka mengenai dunia luar.
Program dikendalikan seramai 20 orang fasilitator dari YIT yang diselia oleh Penyelia Pendidikan Swasta dan Khas JPNT, Natrah Wahah sambil dibantu Pengelola Dakwah YIT, Azizeh Mohamad.
Mereka diajar mengambil wuduk dengan betul sebelum dibawa masuk ke dalam masjid dan kemudian melalui fasilitor bertugas serta guru pengiring, mereka dibimbing asas solat.
Selain itu, mereka diajar membaca ayat al-Fatehah serta ayat-ayat lazim dan doa, disamping diberi kesedaran tentang kepentingan solat serta menanam perasaan cintakan Allah.
Walaupun kelihatan agak sukar untuk membentuk murid Orang Asli itu mempelajari dan mendalami asas solat, namun rata-rata mereka menunjukkan minat yang cukup menggalakkan.
Malah ada di antara mereka yang sudah dikira layak dilantik sebagai imam dalam solat jemaah di kalangan murid Orang Asli seperti Remmy Razak, 12, murid SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Seperti kata Natrah, tujuan program seumpama itu diadakan antara lain untuk memberi pendedahan mengenai asas mendirikan solat di kalangan murid Orang Asli.
“Program ini juga untuk mendedahkan masyarakat Orang Asli khususnya pelajar sekolah kepada masyarakat dan persekitaran selain menyedari kepentingan mendirikan solat.
‘‘Solat menjadi asas kepada pegangan hidup beragama dan program sebegini akan terus diperluaskan.
Dalam pada itu, Azizeh pula berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membawa masyarakat Orang Asli terutamanya kalangan murid sekolah agar keluar daripada kepompong kehidupan lama mereka.
Sebaliknya jelas beliau, komuniti itu akan didedahkan kepada pelbagai pemodenan yang diamalkan masyarakat lain agar mereka dapat menerima kemajuan termasuk aspek keagamaan dan beribadat.
Menurutnya, selain program kem pemantapan solat yang pertama kali diperkenalkan, YIT dengan kerjasama JPNT turut menjayakan beberapa program lain untuk meningkatkan kepercayaan mereka kepada Islam dan Allah sebagai tuhan.
Antaranya, kempen kebersihan di kalangan masyarakat Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu pada tahun lalu untuk menyemai semangat cintakan kebersihan.
"Kita akui agak sukar untuk membimbing mereka apatah lagi dalam usaha memberi penghayatan mengenai Islam, tapi alhamdulillah, dari semasa ke semasa mereka menampakkan kemajuan," ujarnya.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa, YIT bersama JPNT akan meneruskan pemantauan selain menjayakan pelbagai program kecaknaan dan bimbingan kepada masyarakat tersebut agar mereka bersedia menerima kehidupan Islam dan cintakan agama.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment