Friday, August 5, 2011

Orang Ramai Diminta Tampil Beri Maklumat Kes Ragut

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata sempena Ramadan, polis mengambil inisiatif menambah anggota kawalan bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin terutama di lokasi yang menjadi tumpuan seperti Bazar Ramadan dan pasar raya.

Jabatan itu mengurangkan anggota di pejabat dan mengerahkan mereka membuat kawalan di luar termasuklah rondaan pejalan kaki, rondaan bermotosikal, rondaan kereta peronda (MPV) serta terlibat dengan Ops Payung yang dilancarkan sebelum ini.

Selain itu beliau menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian ragut melibatkan dua beradik di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, Ahad lalu untuk tampil membantu polis.

Katanya, kerjasama orang awam yang melihat kejadian itu amat perlu memandangkan sehingga hari ini, pihaknya masih belum terima sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan untuk menangkap penjenayah.

“Sehingga kini, masih belum ada saksi berani tampil memberi maklumat. Namun, kami yakin pasti ada saksi semasa kejadian memandangkan lokasi kejadian terletak di kawasan yang agak sibuk dengan laluan orang ramai.

“Jika saksi kejadian ini mengambil sikap berdiam diri, ini satu keputusan yang amat dikesali kerana kita hidup bermasyarakat perlu, prihatin satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dua beradik itu di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Menurutnya, daripada maklumat awal mangsa, mereka diragut oleh dua remaja lelaki yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Daripada maklumat itu, kami yakin penjenayah terbabit merupakan antara penjenayah yang berpengalaman dan ini bukanlah kegiatan pertama mereka,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Akibat tindakan nekad dua beradik mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka membawa padah apabila motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, kira-kira jam 8.30 pagi.

Dalam kejadian itu, Maleha Malik, 25, hampir putus tangan kanan dan luka pada bahagian badan manakala adiknya, Maizatul Akmal Malik, 22, dilaporkan koma sementara seorang penunggang motosikal lain berumur 30-an turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil.

No comments:

Post a Comment