Seorang warga emas berusia 62 tahun yang juga penjaga masjid didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api pada Ahad lalu.
Mohamad Salleh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Sebaik tertuduh mengaku bersalah, Abdul Hayyi kemudian bertanyakan sama ada tertuduh faham atau tidak pengakuan bersalahnya itu boleh menyebabkan dia dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan, namun tertuduh hanya terdiam dan kelihatan muram.
Tertuduh yang berkopiah dan memakai baju panas, kemudian memberitahu mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia tidak bekerja dan mengharapkan wang sumbangan masjid, selain menanggung enam orang anak termasuk dua yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini tarikh menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang-barang tersebut di rumah No. 797, Kampung Losong Haji Mat Shafiee dekat sini kira-kira pukul 4.55 pagi, 7 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa memiliki beberapa jenis mercun dan bunga api termasuk mercun bola sebanyak lapan bungkus, pop-pop (tujuh kotak), butterflies (lapan kotak), dragon eggs (sekotak), fire rose (29 kotak), '020' (36 batang), 'no8801A' (sekotak), 'PTL4016A' (lima unit) dan 'a016' (12 batang).
Mohamad didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
No comments:
Post a Comment