Sunday, August 7, 2011

Peragut Berputih Mata Selepas Samun Anggota Polis

Akibat tersilap memilih mangsa, seorang lelaki yang meragut seorang wanita di sini bakal berdepan tindakan undang-undang selepas ditangkap mangsanya yang merupakan anggota polis.

Dalam kejadian 5.30 petang Khamis lalu, mangsa yang juga seorang lans koperal di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini sedang menunggang motosikal di Bulatan Sultan Omar apabila tiba-tiba dihimpit seorang penunggang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata lelaki itu kemudian bertindak merentap rantai tangan emas mangsa serta beg tangannya sebelum memecut motosikal untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun anggota polis terbabit bertindak mengejar suspek, menyebabkan lelaki itu menjadi kelam kabut dan terbabas di pembahagi jalan berhampiran stesen minyak berdekatan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata lelaki itu cuba melarikan diri dengan meninggalkan motosikal, rantai tangan dan beg tangan mangsanya, namun dengan bantuan orang ramai suspek berjaya ditahan.

Siasatan awal mendapati lelaki berusia 26 tahun dari Keramat, Kuala Lumpur itu juga positif dadah, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

No comments:

Post a Comment