Wednesday, August 24, 2011
Petronas, Rakan PSC Laksana Projek Huluan RM15 Bilion
Petronas dan rakan perkongsian pengeluaranya (PSC) akan melaksanakan projek huluan RM15 bilion membangunkan dan mengeluarkan rizab gas dari kluster telaga gas yang ditemui di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Projek, yang dinamakan Lembangan Melayu Utara, itu adalah salah satu inisiatif dan usaha baharu Petronas dan rakannya bagi mengekstrak dan memindahkan gas yang mempunyai kandungan CO2 yang tinggi serta rizab dari telaga marginal bagi memenuhi permintaan di Semenanjung Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata projek itu terdiri daripada sembilan telaga gas yang ditemui terletak di dalam Blok PM301 dan PM302 dan di kawasan kontrak Bergading, kira-kira 300km di luar pantai Semenanjung.
Ia turut melibatkan pembangunan talian paip baharu sejauh 200km bagi mengangkut gas dari telaga berkenaan ke Kerteh, Terengganu, katanya.
Petronas dan rakan PSCnya sedang melaksanakan projek secara dipercepatkan, dengan penghantaran pertama 100 juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd), yang dijangka dilakukan menjelang awal 2013, dengan ditingkatkan kepada 250 mmscfd menjelang 2015.
Petronas berkata pembangunan projek Lembagan Melayu Utara itu adalah berikutan insentif yang diperkenalkan baru-baru ini oleh kerajaan, khususnya bagi pembangunan telaga marginal, telaga gas berkandungan CO2 yang tinggi dan telaga yang terletak pada keadaan tekanan tinggi dan suhu tinggi.
Katanya semakan perlahan-lahan harga gas kepada pengguna domestik, seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, menjadikan projek itu lebih berdaya maju di segi ekonomi bagi pemain industri.
Petronas berkata jumlah gas tambahan dari projek lembangan itu akan membantu mengekalkan bekalan kepada para pelanggannya di Semenanjung Malaysia.
Projek itu, yang melibatkan pelbagai komitmen huluan, dijangka menggalakkan lebih banyak pelaburan oleh pemain industri dan merangsang aktiviti penggerudian yang akan mendorong kepada penemuan yang besar di Semenanjung Malaysia.
No comments:
Post a Comment