Sebanyak RM25 juta diperuntukan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Terengganu melalui Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Termiskin dan Miskin yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan tersebut.
Pengarah YPKT Encik Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan program berkenaan bagi tempoh lima tahun.
Menurutnya, melalui program itu mereka yang layak akan diberi bantuan modal dan peralatan bernilai antara RM3,000 dan RM10,000 bagi membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan masing-masing.
Jelas beliau, pemilihan calon untuk bantuan berkenaan dibuat melalui beberapa proses sebelum diluluskan berdasarkan kriteria yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dan menambah pendapatan keluarga.
‘‘Penerima bantuan akan dipantau oleh kakitangan YPKT untuk memastikan bantuan yang diberikan digunakan sepenuhnya,” katanya.
Menurut Mohd. Shafaruddin, melalui fasa pertama yang bermula Januari hingga awal Julai lalu, seramai 771 orang menerima bantuan modal dan peralatan berjumlah RM5 juta.
Katanya, bagi fasa kedua yang bermula Julai hingga akhir tahun ini, sebanyak RM7.5 juta akan dibelanjakan bagi tujuan itu yang dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,300 orang.
Beliau menambah, pada masa ini bancian mengenai keluarga termiskin dan miskin sedang dikenal pasti untuk diberi bantuan yang akan diagihkan kepada mereka secara berperingkat.
No comments:
Post a Comment