Thursday, August 25, 2011

Satu Kes Demam Denggi di Terengganu Minggu Lalu

Sejumlah 365 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh 14 Ogos hingga Sabtu lepas, meningkat tiga kes berbanding 362 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata terdapat lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding pada minggu lepas iaitu Selangor meningkat sebanyak 21 kes, Kelantan (7), Johor (4), Pahang (2) dan Terengganu (1).

"Dari Januari hingga 20 Ogos lalu, sebanyak 13,100 kes dilaporkan, menurun sebanyak 59 peratus atau 18,429 kes berbanding 31,529 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 21 kematian akibat demam denggi dilaporkan, menurun sebanyak 79 peratus berbanding 101 kematian pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sejumlah 58 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara, meningkat 13 berbanding 45 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Dr Hasan berkata daripada jumlah tersebut, terdapat dua lokaliti kawaan panas dikenal pasti dengan melibatkan 53 kes demam denggi, masing-masing di Pangsapuri ATM dan Taman Melati Utama, di zon Setapak, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada masyarakat sempena cuti persekolahan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini untuk memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes ditinggalkan di kawasan kediaman semasa balik bercuti ke kampung.

Katanya pergerakan manusia yang tidak terhad semasa cuti perayaan ini boleh menyebabkan jangkitan demam denggi lebih cepat merebak jika terdapat nyamuk dan pembiakan Aedes di persekitaran mereka.

"Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak jangkitan denggi ketika pulang bercuti pada hari perayaan," katanya.

No comments:

Post a Comment