Tuesday, August 2, 2011

Seekor Penyu Projek PTT WWF-Malaysia Mati

Dana Hidupan Liar Sedunia- Malaysia (WWF-Malaysia) kecewa kerana seekor penyu karah di bawah projek kajian berhubung kehidupan penyu yang datang bertelur di negeri ini, didapati mati di Paka di Kemaman Rabu lepas.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu dan Tuntung Laut Terengganu, WWF-Malaysia Rahayu Zulkifli berkata pada badan penyu tersebut dipasang sejenis peranti satelit yang dinamakan "Platform Transmitter Terminal" (PTT) untuk memantau pergerakan haiwan itu selepas bertelur di negeri ini.

"Kita sungguh sedih dan rasa amat kecewa kerana penyu tersebut mati dan kami masih belum mengenal pasti puncanya," katanya di Kemaman.

Rahayu berkata tahun ini WWF melepaskan empat ekor penyu karah di Kemaman dan Setiu di bawah program itu dan salah seekor daripadanya adalah ibu penyu yang dijumpai mati itu.

Beliau berkata pada Rabu lepas, WWF telah memasang PTT pada badan penyu berkenaan selepas haiwan itu naik bertelur kali pertama di pantai Ma'Daerah dan pada hari yang sama ia dijumpai mati di Paka.

Rahayu berkata biasanya penyu dalam musim bertelur tidak akan pergi jauh dan penyu terbabit dipercayai masih lagi berada dalam perairan Terengganu sebelum mati.

Beliau berkata kajian pada masa-masa lepas menunjukkan penyu berhijrah ke kepulauan Riau di Indonesia, Vietnam dan Filipina selepas habis musim bertelur di Terengganu.

No comments:

Post a Comment