Sunday, August 7, 2011

Selangor Tidak Pandang Rendah Kemampuan T-Team

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (empat dari kiri) bersama (dari kiri) Pengurus Besar Astro Arena, Darren Althofer, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pegawai Pemasaran Bahagian Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodriguez pda majlis undian Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang kelmarin.

Selangor berazam untuk menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 pada tahun ini selepas kali terakhir menjulang piala berprestij itu pada tahun 2005.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Subahan Kamal berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian memberangsangkan musim ini iaitu tempat ketiga Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala FA.

"Bagaimanapun masa ini kita perlu fokus untuk melepasi saingan peringkat kumpulan," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 di Surau Ibtida'iah, Kampung Bendahara, Selayang, Batu Caves.

Beliau berkata Selangor tidak boleh memandang rendah pasukan Kuala Lumpur, T-Team dan PDRM yang diundi bersama dalam Kumpulan D kejohanan itu dan perlu bermain dengan kesungguhan tinggi dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun katanya, Selangor mempunyai peluang yang cerah untuk layak ke suku akhir dan pasukan itu sedang membuat persiapan rapi antaranya mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan malam semalam.

Pada kempen Piala Malaysia tahun lepas, Selangor terkandas di pusingan suku akhir apabila kalah dengan agregeat 3-0 kepada Kelantan yang menjuarai kejohanan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai pertukaran venue pertandingan bola sepak Sukan SEA daripada Stadium Jakabaring di Palembang kepada Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Subahan berkata stadium itu tidak memberikan kelebihan untuk pemain negara.

"Pemain kita ramai yang sudah bermain di sana namun tidak memberikan kelebihan kerana stadium itu kelihatan 'mengerikan' dengan sokongan fanatik peminat Indonesia. Kita sebenarnya lebih suka Palembang," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, beliau percaya pemain negara mampu beraksi cemerlang dan ini dapat dilihat pada kejohanan Piala AFF lepas di mana pemain muda negara mampu bermain baik walaupun diberi tekanan daripada pemain serta penyokong Indonesia dan seterusnya menjuarai kejohanan itu.

Pada 2 Ogos lepas, Persekutuan Bola Sepak ASEAN mengumumkan venue Palembang tidak dapat disiapkan pada masa ditetapkan.

No comments:

Post a Comment