Imbas Kembali - Beberapa orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat gadis 15 tahu dilarikan di Kuala Besut, Terengganu 12 Ogos lalu.
Seorang pemuda 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira 10.30 pagi.
Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.
"Suspek direman selama seminggu bermula hari ini," katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja hari ini.
Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana
terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, 12 Ogos lalu, suspek bersama dua individu lain melarikan gadis berkenaan di depan sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta Perodua Kancil.
Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak
bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.
Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai.
No comments:
Post a Comment