Kerajaan Terengganu merayu Kementerian Kesihatan agar mempercepatkan pembinaan hospital baru Dungun kerana ia begitu kritikal memandangkan hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah dan kedudukan di satu lokasi yang sesak.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata cadangan pembinaan Hospital Dungun yang baru dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan tetapi sehingga kini ia belum terlaksana.
"Dua hospital yang sangat kritikal ialah Hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Ia sudah tidak sesuai lagi beroperasi di tempat yang ada sekarang kerana pembangunan yang berlaku di sekitarnya, menjadikan ia agak sesak.
"Kita sedia memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dengan menyediakan tapak baru untuk Hospital Dungun, kira-kira 20 hektar di Kampung Che Lijah di sini," katanya ketika menghadiri program Ehsan Ramadan di hospital itu dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit serta menghadiri majlis berbuka puasa di Dungun semalam.
Ahmad Said berkata, keadaan Hospital Dungun yang rendah, sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.
"Beberapa tahun lalu, pesakit hospital itu pernah dipindahkan ke tempat selamat akibat berlaku banjir kilat dan ia amat menyusahkan pesakit serta kakitangan hospital itu sendiri.
"Jadi kita haraplah agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Dungun agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat di sini," katanya.
Pada September tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata pembinaan hospital baru bagi menggantikan Hospital Dungun yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tahun depan.
Ini berikutan peruntukan bagi pembinaannya masih belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.
"Kerajaan negeri mengklasifikasikan projek tersebut sebagai keperluan yang amat mendesak dan berharap permulaan RMK-10 dapat memberi keutamaan kepada projek tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian berikutan rungutan orang ramai terhadap kemudahan di Hospital Dungun yang tidak lagi praktikal kerana ia dibina berdasarkan keperluan penduduk pada sekitar 60-an.
Hospital Dungun yang mengandungi empat wad dengan 100 katil pesakit dibuka secara rasmi pada 26 Mac 1967 dan kini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 160,000 penduduk di daerah itu.
Hospital yang terletak di pusat bandar itu kini semakin sesak dan tidak dapat menampung keperluan pesakit.
Menurut Abdul Rahman, urusan pengambilalihan dan pembayaran sebidang tanah di Kampung Che Lijah sebagai tapak pembinaan hospital baru telah selesai dilakukan.
No comments:
Post a Comment