Friday, August 19, 2011

TMESA Salur Bantuan Bentuk Pelajar 'Jadi Manusia'A Student

Sebahagian pelajar yang menerima bantuan di bawah program Sponsor A Student anjuran TMESA di Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Kepayahan hidup yang terpaksa dilalui merupakan suatu lumrah ketika meniti kedewasaan bagi kebanyakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud di sini pada masa silam.

Hampir kebanyakan mereka adalah senasib kerana latar kehidupan keluarga yang miskin tetapi sebilangan mereka yang telah berjaya dalam kehidupan sentiasa mengenang dan mengingati dari mana mereka bermula.

Di sekolah itu, mereka berjaya mengejar kecemerlangan dalam pelajaran dan menggapai cita-cita yang mana sebilangannya memegang jawatan tinggi dan terhormat di sektor kerajaan dan swasta di samping usahawan atau ahli perniagaan yang berjaya.

Masa lalu akan sentiasa mengingatkan mereka tentang sekolah dan sahabat dan melalui Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA), ia lebih menyatukan mereka.

TMESA merupakan salah sebuah persatuan bekas pelajar di negeri ini yang paling banyak menyumbang untuk warga sekolahnya melalui pelbagai program dan pendekatan.

Baru-baru ini TMESA menyalurkan bantuan kepada pelajar dari golongan keluarga miskin menerusi program Sponsor A Student (SAS).

Penyampaian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud.

Seramai 140 pelajar miskin yang dipilih dari 14 buah sekolah menengah menerima sumbangan TMESA bagi tahun keenam dan ketujuh itu berupa wang tunai sebanyak RM200 setiap orang.

Presiden TMESA, Datuk Ir. Che Mohamad Che Jusoh berkata, selain wang tunai, pelajar tersebut akan dibawa mengikuti lawatan yang ditaja TMESA ke ibu negara bagi membuka minda dan menambah pengetahuan.

"Semua perbelanjaan ditanggung oleh TMESA hasil keprihatinan dan sumbangan ahli yang mahu berbakti bagi menyemarakkan semangat para pelajar.

"Sumbangan ini dibuat dengan penuh kesedaran dan keinsafan dengan harapan dapat membantu anak bangsa yang kurang bernasib baik supaya mereka juga mempunyai peluang yang sama untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran," tambahnya.

Che Mohamad berkata, TMESA yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu kini mempunyai lebih daripada 500 ahli yang terdiri daripada bekas pelajar sekolah rendah dan menengah Tengku Mahmud.

Katanya, dalam tempoh itu TMESA telah mengeluarkan sumbangan berjumlah RM522,000 kepada 460 pelajar hasil derma ikhlas yang diperolehi daripada ahli, orang perseorangan dan syarikat-syarikat korporat.

Pelajar yang dipilih bukan hanya terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah Besut sahaja sebaliknya TMESA melangkaui sumbangan dan keprithatinannya kepada pelajar di daerah lain.

"Sebagai orang yang telah berjaya, ahli-ahli TMESA mahu menjadi model untuk dicontohi oleh semua pihak termasuk guru-guru dan anggota masyarakat dalam memikul tanggung jawab untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Kami tidak mahu menjadi 'kacang lupakan kulit' tetapi mahu menyumbangkan sebahagian daripada kesenangan yang diperolehi hasil pendidikan yang kami terima ini bagi membantu pelajar yang memerlukan, "katanya.

Selain itu menurutnya, usaha yang dilakukan oleh TMESA itu bertujuan membalas jasa dan khidmat guru-guru yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sehingga mereka berjaya menjadi 'manusia'.

Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TMESA ingin menggerakkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu golongan pelajar miskin itu.

Pada masa sama tambahnya, bimbingan, galakan yang berterusan serta menanam sikap disiplin dan mementingkan nilai-nilai murni perlu juga diberikan kepada golongan pelajar tersebut.

Menurut Che Mohamad, di pihak pelajar yang menerima bantuan pula perlu sedar bahawa sumbangan yang diberikan bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka tetapi sebenarnya untuk menyuntik semangat mereka.

"Kita tidak mahu disebabkan oleh faktor kemiskinan keluarga ramai yang tercicir dan tidak dapat meneruskan pelajaran mereka sedangkan pelajaran merupakan satu perkara penting untuk mencorakkan hidup pada masa depan.

"Perkara ini perlu ditekankan kerana merekalah yang akan menjadi pelapis sama ada dalam bidang politik, korporat dan juga kerajaan dan semestinya generasi mereka perlu kuat, maju dan berdaya tahan serta berdisiplin, "katanya.

Menurut beliau, pelajar perlu sedar dan insaf bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab penting dan memikul harapan besar kedua ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban demi mereka.

Akhirnya tambah beliau, pelajar berkenaan akan menjadi generasi yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, inovatif dan memilik jati diri yang akan sentiasa berasa terpanggil untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment