Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyasarkan 14 buah bengkel automotif di seluruh negeri akan dapat manafaat daripada daripada projek Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, melalui usaha itu semua bengkel berkenaan, termasuk bengkel kereta dan motosikal akan diubah wajah dan dimodenkan menjadi pusat perkhidmatan yang lebih sistematik, cekap dan bersih.
Katanya, pemodenan bengkel-bengkel itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan dalam transformasi perkhidmatan berkenaan di seluruh negara untuk menjadikan perniagaan itu lebih bersistematik dan menguntungkan.
"Pengusaha bengkel boleh membuat pinjaman perniagaan sehingga RM100,000 selama 15 tahun melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional yang akan berjalan sehingga tahun 2020.
"Perubahan itu dijangka mampu meningkatkan keyakinan pelanggan menghantar kenderaan mereka ke bengkel berkenaan, sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha bengkel terbabit," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Mei lalu melancarkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan projek Atom dalam usaha menaik taraf perkhidmatan pembaikan dan penyenggaraan kenderaan di negara ini.
Melalui pelancaran itu kata Azmi, YPU telah dilantik sebagai konsultan bagi program berkenaan oleh KPDNKK bagi negeri Terengganu.
Menurutnya, YPU pada masa kini sedang membuat tinjauan terhadap pengusaha bengkel yang berpotensi untuk dibantu dan dengan memberi penerangan mengenai projek itu kepada kumpulan terbabit.
"Khidmat perundingan yang ditawarkan YPU kepada pengusaha bengkel dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM) dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM).
"Selain itu, kepakaran Malaysian Association of Tyre Retreaders and Dealer Society (MATRDS) dan Automotive Aftersales Industry (M) Sdn. Bhd. turut dilibatkan bagi meningkatkan pengurusan kewangan dan operasi bengkel yang terpilih," ujarnya.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment