Friday, September 9, 2011

343 Saman Sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2011

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 343 saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2011 bermula pada 14 Ogos lalu.

Pengarah JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, saman yang dikeluarkan adalah merangkumi 383 jumlah kesalahan dengan pelbagai kategori, termasuk tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh.

Menurutnya, statistik itu diperoleh berdasarkan Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 14 Ogos hingga 3 September.

“Mengikut statistik, 343 saman yang dikeluarkan bermula pada 14 Ogos hingga 3 September meliputi motosikal persendirian sebanyak 161 saman, 108 saman bagi motokar persendirian, 33 saman kenderaan berat bawah lima tan dan 34 kenderaan berat lebih lima tan serta tujuh saman untuk bas ekspres.

“Saman yang dikeluarkan berdasarkan kepada pemeriksaan ke atas 4,537 buah kenderaan di semua laluan sepanjang operasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penguatkuasaan perintah larangan kenderaan barangan di laluan utama dua hari sebelum raya, 27 dan 28 Ogos serta dua hari selepas raya, iaitu 3 dan 4 September dipatuhi oleh pemandu dan pemilik syarikat terbabit.

Abdul Rahman berkata, ini susulan kesedaran yang tinggi untuk sama-sama mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

“Selain memberikan penumpuan kepada jalan utama iaitu di Kilometer (KM) 58 Jerangau-Jabor, KM54 Jalan Sungai Tong-Permaisuri dan KM61 Marang-Dungun, tumpuan juga diberikan kepada laluan lain.

“Antaranya, di laluan selekoh Bukit Bauk, Dungun yang juga antara laluan bahaya terutama pada musim perayaan,” katanya sambil memberitahu operasi akan berterusan sehingga 14 September ini.

Menurutnya, pujian harus diberikan kepada pemandu bas ekspres kerana sepanjang operasi penyamaran yang dilakukan ke atas 22 trip bas yang dipilih secara rawak, pemanduan adalah secara berhemah dan juga sangat mementingkan keselamatan penumpang.

No comments:

Post a Comment