Sunday, September 25, 2011

Bantu Pelajar Miskin - Ahli Parlimen Dungun Melawat Rumah Ke Rumah

Matulidi Jusoh (tengah )menyampaikan sumbangan kepada Siti Nur Aida Ngah, 13, pelajar sebuah sekolah menengah di Dungun ketika berkunjung ke rumah pelajar tersebut, kelmarin.

Demi memastikan pelajar miskin turut berjaya dalam pelajaran, Pejabat Parlimen Dungun di Dungun mengambil pendekatan melawat dari rumah ke rumah untuk membantu mereka.

Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, usaha itu diharap dapat memberi semangat kepada para pelajar berkenaan untuk terus cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu melihat pelajar miskin yang cemerlang dalam peperiksaan, berdepan dengan masalah pembelajaran disebabkan oleh faktor kemiskinan yang membelenggu keluarga mereka.

“Saya mahu pelajar-pelajar miskin ini cemerlang dalam pendidikan dan dengan sokongan yang diberikan ini diharap pelajar terbabit terus cemerlang dalam pelajaran mereka,” katanya di Dungun, kelmarin.

Dalam program itu, seramai 42 pelajar miskin dan yatim piatu di daerah itu menerima bantuan berbentuk wang tunai untuk kegunaan mereka.

Mereka yang menerima bantuan itu terdiri daripada 12 murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 18 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selebihnya merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dalam pada itu, Matulidi berkata, pihaknya juga menganjurkan program turun ke akar umbi yang bertujuan menyalurkan apa jua bantuan dan keperluan terhadap keluarga pelajar miskin yang perlukan bantuan.

“Kita turut memberi bantuan seperti khidmat membaiki rumah, atap rumah dan menghulurkan beberapa keperluan dapur untuk keluarga yang dihimpit kesusahan,” katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment