Monday, September 5, 2011

Empat Beradik Tanpa Sijil Lahir Terima Hadiah Istimewa Di Aidilfitri

Nordiana, 8, (dua dari kiri); menunjukkan sijil kelahiran bersama adik beradiknya, Norhidayah Mohd. Zaki, 9 (tiga dari kiri); Mohd. Alif, 7 (kiri) dan Mohd. Syawal, 5 (kanan) sambil diperhatikan ibu dan nenek di rumah mereka di Kampung Nibung Che Damak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kehadiran Aidilfitri minggu lalu membawa seribu kegembiraan kepada empat beradik dari Kampung Nibong, apabila penantian mereka selama 10 tahun untuk memiliki sijil lahir, berakhir Jumaat lalu.

Ini kerana bermula 2 September lalu, kehidupan empat beradik di Kampung Nibong di sini berubah apabila mereka akhirnya memiliki sijil kelahiran.

Sijil lahir itu adalah ‘hadiah Aidilfitri’ buat Norhidayah Mohd. Zaki, 9, serta adiknya Nordiana, 8; Mohd. Alif, 7, dan Mohd. Syawal, 5, dan tiga daripada mereka buat pertama kalinya bakal melalui alam persekolahan selepas cuti perayaan berakhir.

Selepas Aidilfitri nanti, Nordiana, Mohd. Alif dan Mohd. Syawal bakal melalui pengalaman pertama mereka menduduki alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman di sini.

Bagi ibu mereka, Rohani Ngah, 33, ia bukan sahaja hadiah paling besar dan cukup istimewa dalam hidup mereka sekeluarga malah menjadi ‘hari kemerdekaan’ setelah sekian lama menunggu.

“Saya rasa sangat beruntung dan ini merupakan satu hadiah besar dan paling bermakna buat kami sekeluarga, seolah-olah kami sudah bebas daripada bebanan besar selama ini.

“Saya rasa macam hari kemerdekaan, sudah 10 tahun saya tunggu saat ini, seolah-olah sudah putus asa. Tapi kini saya dan keluarga amat bersyukur pada Allah

”Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki Badrol yang banyak membantu sehingga berjaya mendapat sijil kelahiran ini,” katanya.

Rohani menyatakan demikian kepada pemberita di rumahnya di Kampung Nibong di sini selepas menerima sijil kelahiran bagi empat anaknya itu daripada Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Terengganu Nor Asyikin Che Sidik dan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu Matsor Ismail.

Hadir sama, Badrol Hisham serta wakil Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) iaitu Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Matsor Ismail.

Sebelum ini media melaporkan keresahan seorang ibu, Rohani yang hidup mereka bagaikan terasing apabila empat daripada lima anaknya itu itu tiada sijil lahir.

Segalanya bermula pada 2000 apabila Rohani dan suaminya, Mohd. Zaki Osman, 48, gagal mendapatkan surat pengesahan nikah walaupun dikatakan telah berkahwin secara sah.

Kegagalan itu menyebabkan pasangan berkenaan membuat keputusan untuk ‘berkahwin semula’ pada tahun 2005 untuk memperoleh sijil nikah.

Justeru, apabila anak bongsu mereka, Nurul Fatihah, 3, dilahirkan, hanya kanak-kanak itu memperoleh sijil kelahiran.

Sementara itu, Badrol Hisham mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada JPN serta JPNT yang segera bertindak bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi keluarga berkenaan.

“Kita ucapkan terima kasih dan tahniah kepada JPNT dan JPN yang berjaya bertindak membantu empat beradik ini dalam masa seminggu,” ujarnya.

Bagi Rohani sijil lahir anak-anaknya yang diterima itu merupakan hadiah yang amat bermakna kepada mereka sekeluarga dan kehadiran Hari Raya Aidilfitri nanti lebih berseri bagi empat beradik itu kerana tidak lagi menjadi pelarian di bumi sendiri.

"Saya berasa sangat beruntung, terasa macam terlepas daripada satu bebanan yang berat dan ini adalah hadiah paling bermakna bagi kami sekeluarga," katanya selepas menerima sijil lahir empat anaknya itu.

Kegagalan empat daripada lima anaknya untuk memperoleh sijil lahir disebabkan kelalaian Rohani ketika bernikah pada 2000 apabila dia dan suaminya bernikah tanpa mendapat restu keluarga sehingga menyukarkannya untuk mendapatkan surat nikah.

No comments:

Post a Comment