Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 197 biji pil kuda (methamphetamine) dan tiga botol serbuk dipercayai heroin bernilai kira-kira RM8,000 dalam beberapa tangkapan berasingan dalam tempoh empat hari berakhir kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam serbuan jam 5 pagi kelmarin, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Kampung Raja yang disyaki dihuni suspek terbabit dengan kes samun di Bachok, Kelantan pada 17 September lalu.
Menurutnya, polis yang memecah masuk ke dalam rumah tersebut berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah di satu penjuru bilik tidur di rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 58 biji dipercayai pil kuda di atas paha suspek dan dua botol serbuk putih dipercayai heroin di dalam satu beg pinggang,” katanya.
Kamaruddin berkata, turut dirampas sebuah kereta Proton Wira dan sebilah parang yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian samun di jajahan tersebut.
Dalam serbuan berasingan pada jam 4.20 pagi hari sama, empat lelaki berusia 17 hingga 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Puteri Dalam dekat Kuala Besut.
Kata beliau, hasil pemeriksaan pada badan suspek dan di dalam rumah tersebut, polis menemui 41 biji pil kuda dan sebotol serbuk putih dipercayai heroin.
“Tiga daripada suspek didapati positif dadah manakala suspek berumur 17 tahun yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di daerah ini negatif dadah,” katanya.
Rabu lalu pula, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasik Tok Lebai, Jabi pada jam 8.10 pagi.
Polis telah menahan seorang lelaki yang beralamat di Kampung Renek itu dipercayai pengedar dadah dan polis merampas sebanyak 95 biji pil kuda manakala suspek juga didapati positif dadah.
Sehari sebelum itu kira-kira jam 4.30 pagi, polis berjaya menahan seorang pelajar institusi kemahi-ran di sini yang baru pulang dari kampungnya di Jengka, Pahang setelah dipercayai membawa bersamanya 20 biji pil kuda.
“Pelajar tersebut dipercayai mendapat bekalan di kampungnya dan ditahan sebaik turun bas berhampiran Bank Maybank Jertih,” katanya.
Isnin lalu pula dua remaja bawah umur berumur 16 dan 17 tahun yang menaiki sebuah kereta telah ditahan di Kampung Seberang Kastam dekat Pantai Air Tawar.
Mereka yang sudah tidak bersekolah didapati membawa 24 biji pil kuda yang disembunyikan berhampiran tempat duduk penumpang.
Semua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat berdasarkan dakwaan masing-masing iaitu di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) akta yang sama.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment