Monday, September 26, 2011

FELCRA Kini Menceburi Bidang Hartanah, Kata Ketua Pegawai Eksekutif

Setelah menceburi tanaman getah, FELCRA akan menceburi pula dalam bidang pembangunan hartanah bagi mengukuhkan lagi tabung kewangan agensi kerajaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Juzilman Basir berkata, sebagai langkah permulaan, FELCRA akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 1.8 hektar di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

"Kita akan bangunkan kawasan ini dengan pembangunan bercampur-campur yang dijangka melibatkan pelaburan melebihi RM520 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis Mesra Hari Raya Warga FELCRA Wilayah Timur di Kompleks Stadium Tertutup Gong Badak Sabtu (24 Sep 2011).

Juzilman berkata projek tersebut akan terdiri daripada menara FELCRA Berhad, menara pejabat dan juga apartmen serta kemudahan dewan dan pusat perniagaan.

Beliau berkata projek itu dijangka memberi pulangan lebih RM200 juta apabila pembangunannya siap kelak.

"Apabila ia menjadi kenyataan nanti, dari segi nilai hartanah disini mungkin akan mencecah RM1 bilion," katanya.

Selain itu, FELCRA juga sedang merancang menubuhkan Kolej FELCRA di Perak dan berusaha mewujudkan satu anak syarikat bagi mengendalikan penubuhan kolej tersebut.

Dalam perkembangan lain, FELCRA juga berhasrat untuk melaksanakan aktiviti perumahan generasi kedua FELCRA.

Sebagai permulaan, ia akan dimulakan di kawasan seberang Perak sama ada awal atau pertengahan tahun depan.

No comments:

Post a Comment