Hasrat anak kepada Konstabel Jaafar Hassan (gambar atas) yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong, Azlas untuk menziarahi pusara arwah bapanya buat pertama kali bakal menjadi kenyataan, tidak lama lagi.
Ia berikutan persetujuan antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail bagi merealisasikan hasrat Azlas, 62, itu.
Azlas meluahkan rasa gembira serta mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkenaan yang sudi memberi kesempatan kepadanya menziarahi pusara Allahyarham Jaafar di Bukit Kepong dalam waktu terdekat.
Saya rasa sangat gembira dan terharu dengan kesudian Badrol dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang sudi bawa saya ziarah kubur arwah bapa di Bukit Kepong.
Hanya Allah saja yang dapat balas jasa mereka ini. Saya sedih kerana tidak pernah ziarah pusara arwah bapa dan saya tak pernah tahu di mana letaknya kubur arwah.
Saya tak sabar-sabar nak ke sana (ziarah kubur bapa di Bukit Kepong)," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala terengganu semalam.
Semalam, akhbar menyiarkan luahan Azlas terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang membela anggota komunis dalam tragedi Bukit Kepong.
Ekoran itu, Azlas yang juga anak kepada Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong itu menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan Mat Sabu ekoran kenyataannya itu.
Dia turut terkejut dan tidak menyangka pemimpin nombor dua Pas itu tergamak mengeluarkan kenyataan yang sangat mengguris hati keluarga anggota polis lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk arwah Konstabel Jaafar berlangsung di rumah keluarga Azlas di Kampung Lot Perpindahan, Chendering dekat sini malam tadi yang disertai kira-kira 60 ahli kariah kampung itu.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharudin; Badrol Hisham dan Wan Nawawi.
Badrol Hisham berkata, majlis tahlil itu diadakan atas inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO negeri.
Beliau turut mengesahkan, pihaknya bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi bersetuju membantu menguruskan pemergian Azlas serta keluarganya menziarahi pusara Allahyarham Konstabel Jaafar di Bukit Kepong.
No comments:
Post a Comment