Wednesday, September 7, 2011

'Kawan Makan Kawan' di Mercang

‘Kawan makan kawan’. Dek kerana gagal mengawal hasutan syaitan, penoreh getah sanggup menceroboh rumah rakannya sendiri untuk mencuri di Kampung Tok Amat, Merchang, Marang, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Marang, Asisten Superintenden Mohd Zohan Seman mengesahkan kejadian dan suspek kini direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek, 22, yang baru mendirikan rumah tangga dua bulan lalu melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap rakannya sendiri bersama dua sepupunya kira-kira jam 9 pagi iaitu ketika mangsa meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat kenduri di Kam-pung Pasir Putih, Marang.

Polis kini masih memburu dua sepupu suspek yang dipercayai terlibat sama dalam kejadian itu.

Kejadian itu hanya disedari mangsa, 25, yang bekerja di Pelantar Minyak selepas pulang ke rumah kira-kira jam 3.30 petang dan mendapati beberapa barang telah hilang antaranya TV Plasma 32 inci jenama Toshiba dan satu unit komputer riba jenama Compaq Presario.

Mengesyaki rumahnya diceroboh, mangsa membuat laporan di Balai Polis Merchang pada hari sama.

Rentetan laporan, suspek beralamat di Kampung Gong Kassim, Merchang, Marang ditangkap semula di Kampung Tok Amat oleh pihak polis kira-kira 11.10 malam kelmarin.

Hasil tangkapan suspek, polis berjaya menemui TV Plasma 32 inci jenama Toshiba itu yang disorokkan dalam semak berhampiran beberapa barang lain turut ditemui iaitu sepasang kasut jenama Metrix warna hitam merah dan satu unit DVD Player jenama Vision yang dipercayai barang curi.

Difahamkan, suspek cedera selepas dipercayai berlaku pergelutan ketika melarikan diri daripada orang awam.

No comments:

Post a Comment