Aidilfitri disambut pelbagai bangsa di Kuala Terengganu yang menggambarkan semangat muhubah dan perpaduan yang tebal. - Gambar Harith Fadzilah
Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri pertama (30 Ogos 2011) begitu terasa apabila lebih 15,000 orang pengunjung berbilang bangsa hadir bagi meraikannya di Rumah Terbuka Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Semangat 1Malaysia nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk merai dan memeriahkan sambutan bersama umat Islam itu.
Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Mereka mengambil peluang untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.
Sebelum itu Menteri Besar dan isteri menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu bersama-sama rakyat sekitarnya.
Segak dengan lengkap berpakaian baju Melayu, beliau dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud hadir diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Mufti Negeri, Datuk Dr Alias Abdullah serta beberapa pemimpin negeri yang lain.
Solat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz sebelum menyampaikan khutbah bertajuk 'Kemerdekaan Hakiki'.
Kira-kira 3,000 umat Islam yang meriah dengan pakaian berwarna-warni membanjiri perkarangan masjid berkenaan sejak 7 pagi bagi menunaikan solat Aidilfitri serta melaungkan takbir raya.
Mereka turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Ahmas Said..
Pada majlis rumah terbuka pula, pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional. Ini termasuki lemang, ketupat dan rendang selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.Seorang pengunjung, Abdul Malik Yusof, 51, berkata, beliau bersama isteri dan tiga anak perempuannya yang pertama kali menghadiri rumah terbuka Menteri Besar itu bagi merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin negeri.
"Pada mulanya, kami ingatkan majlis ini hanya untuk orang kenamaan sahaja. Sebaik sampai di sini saya berpeluang bersalam dengan Menteri Besar dan kami diraikan bersama " katanya yang juga guru Matematik dari Chendering, Kuala Terengganu.
Bagi Cheah Wan Ning, 21, berkata, beliau seronok untuk meraikan Hari Raya bersama teman-temannya yang beragama Islam, malah setiap tahun rumah terbuka Menteri Besar adalah tempat yang mesti disinggah.
"Saya begitu gembira dapat datang ke rumah terbuka ini dan melihat pemimpin negeri secara lebih dekat. Paling penting, saya juga dapat duit raya,” katanya sambil tersenyum riang.
Sementara itu, di luar Seri Iman, lebih 10 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain.
Mereka turut bergambar di kawasan sekitar itu.
Teganukita
No comments:
Post a Comment