Monday, September 5, 2011

Komunis Musuh Islam Sampai Bila-Bila - Harun Taib

Penunjuk perasaan memijak poster wajah Mohamad Sabu di Temerloh semalam sebagai tanda membantah kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang mengangkat komunis sebagai hero dalam Tragedi Bukit Kepong pada 1950.

Setiap ideologi yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam termasuk apa yang diperjuangkan oleh komunis tetap menjadi musuh Islam sampai bila-bila.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, ideologi yang diperjuangkan itu tetap tidak akan 'mati' walaupun sudah terjalin perjanjian damai antara dua pihak yang bertelagah.

"Apa saja ideologi 'songsang' termasuk komunis bukan datang daripada Allah kerana ia atheis ataupun tiada tuhan untuk mereka sembah.

"Selagi mereka ini tak terima Islam sebagai agama, mereka tetap menjadi musuh Islam sampai bila-bila," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harun berkata demikian secara berhati-hati dan 'berlapik' ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Pulau Pinang bulan lalu yang mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero dalam tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimanapun enggan dikaitkan dengan kenyataan yang dibuat Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu.

"Saya tak mahu komen pasal itu, saya hormati beliau sebagai Timbalan Presiden Pas, jangan kaitkan saya dengan kenyataan beliau itu," jelasnya.

Ahli-ahli Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) bersama sebahagian waris mangsa anggota polis dan keluarga yang dibunuh oleh komunis mengunjungi pusara anggota polis dan keluarga yang disemadikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kepong di Bukit Kepong, Muar, Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment