Wednesday, September 7, 2011

Maidam Tunggu Laporan Lengkap Kejadian Ribut

Seorang penduduk, Fatimah Musa bersama anaknya, Mohd. Nazor Abd. Bakar mengemas rumah mereka yang berselerak akibat dilanda ribut di Kampung Pulau Kerengga, Marang.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu menyediakan peruntukan khas bencana dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat negeri ini akibat bencana alam.

Pengerusi Maidam, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, pihaknya menyediakan peruntukan khas kepada mangsa bencana sebagaimana sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, bantuan itu masih belum dapat diagihkan kepada mereka yang terlibat memandangkan Maidam masih belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian ribut yang berlaku minggu lalu.

“Kita masih menunggu laporan lengkap berhubung perkara itu dan akan mengkaji bentuk bantuan yang bakal disalurkan kepada mereka.

“Justeru, kita berharap mereka yang terlibat dapat bersabar sebelum bantuan yang sepatutnya dapat disalurkan,” katanya ketika ditemui pada Program Taklimat Pelajar-pelajar Tajaan Maidam ke Universiti di Jordan yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bentuk bantuan yang bakal disalurkan kepada mangsa kejadian ribut di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu yang melibatkan hampir 80 buah rumah penduduk.

Pada 2 September lalu, sebanyak 16 rumah penduduk di Rhu Rendang, Marang mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung apabila dipukul ribut setelah hujan lebat dan angin kencang bermula jam 3.30 petang.

:Manakala pada 3 September pula sebanyak 52 rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian atap dalam kejadian ribut yang berlaku di Padang Midin, Kuala Terengganu.

Sementara itu di Kampung Kubang Palas, Hulu Terengganu, sebanyak 13 rumah rosak teruk dibahagian atap dalam kejadian sama dan turut mencederakan bahagian kepala seorang penduduk yang berusia awal 30-an akibat dihempap kayu.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment