Wednesday, September 21, 2011

Mat Sabu Didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth Hari Ini

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth dan telah dimaklumkan oleh peguamnya Mohamad Hanipa Maidin petang semalam.

“Peguam saya telah beritahu saya bahawa pihak polis ada menghubunginya bagi tahu saya akan didakwa esok (hari ini).

“Ini ada kaitan dengan ceramah saya tempoh hari mengenai Mat Indera. Mereka minta saya hadir 9 pagi. Saya dan peguam saya akan hadir,” katanya.

Ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos telah mencetuskan kontroversi apabila Mat Indera yang dianggap ramai sebagai komunis, dijulang menjadi hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terbunuh dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 1950.

Selain itu, Mohamad juga dilaporkan turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Mohamad akan didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada perbuatan mengedar atau membuat kenyataan menghasut atau melakukan jenayah.
Jika sabit kesalahan, Mohamad boleh dihukum penjara sehingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu Naib Presiden PKR N Surendran menggesa pentadbiran Najib dan Peguam Negara menggugurkan tuduhan ke atas Mohamad.

Katanya, tindakan itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa polis dan prosedural pendakwaan serta melanggar hak asasi kebebasan bersuara.

“Kami menggesa kerajaan dan Peguam Negara tidak meneruskan tuduhan ke atas Mohamad dan untuk menunaikan pendirian Perdana Menteri mahu menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihubungi mengesahkan Mohamad menemui polis untuk mengambil waran tahanan untuk hadir di mahkamah.

“Beliau tidak ditahan, cuma hadir di IPK Pulau Pinang untuk mendapatkan waran sebab esok beliau, dimaklumkan kena hadir di mahkamah,” kata Tuan Ibrahim.

“Mohamad tidak ditahan, ia prosedur biasa sebelum dihadapkan di mahkamah,” kata Salahuddin.

No comments:

Post a Comment