Tuesday, September 20, 2011

Program SPTS Kementerian Pelajaran Mula Menampakkan Hasil

Khairul Anuar Mohamed telah memenangi pingat perak bagi acara memanah individu dan membantu pasukannya memenang pingat perak dalam sirkit keempat Piala Dunia di Shanghai China, baru-baru ini.

Dia merupakan murid SMK Air Putih, Kemaman Terengganu dan kemudian telah diserap ke SMK Bukit Nanas, Terengganu yang merupakan sekolah sukan negeri bagi negeri tersebut meneruskan pelajaran di tingkatan empat dan lima.

Jurulatih sekolahnya ialah Cikgu Mohamed Kamro Abdul Aziz yang sekarang ini telah dipindahkan ke sekolah lain.

JPN Terengganu hendaklah melihat perkara ini supaya kepakarannya boleh dimanfaatkan dengan lebih baik di sekolah lama atau di PLD memanah yang lain.

Beliau kemudiannya telah diserapkan ke Program Pelapis MSN dan ditempatkan di Pusat Latihan Serantau di Johor Bahru.

Oleh kerana bakatnya yang menyerlah, dia kemudiannya telah diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memulakan Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) mulai dari bulan Julai 2007 dengan tiga jenis sukan iaitu bola sepak, memanah dan sepak takraw.

Pada awal tahun 2008, empat jenis sukan lagi iaitu olahraga, badminton, hoki dan gimnastik dipilih untuk dimajukan di bawah program SPTS ini.

Program SPTS ini bertujuan untuk mengenal pasti dan melatih atlet murid yang mempunyai bakat dalam sukan-sukan yang menjadi pilihan.

Atlet murid ini akan ditempatkan di Pusat Latihan Daerah (PLD) atau di Sekolah Sukan Negeri (SSN) atau di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) mengikut tahap kemahiran masing-masing.

Mereka ini akan dilatih oleh jurulatih yang dilantik dari kalangan guru dan mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya sijil tahap 1 Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara.

Bagi melaksanakan tujuh jenis sukan ini KPM telah menubuhkan 823 PLD, 15 SSN dan dua SSM.

Seramai 52,530 orang atlet murid telah dipilih mengikuti program ini dan dilatih oleh seramai 1603 orang jurulatih.

Pada temasya Sukan Komanwel Remaja IV (YCG) yang baru berakhir di Isle of Man, pemain badminton remaja kita telah memenangi empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Pencapaian ini adalah yang terbaik sejak temasya berkenaan dimulakan di mana pencapaian terbaik sebelum ini ialah tiga pingat emas yang dicapai pada tahun 2008.
Pemain Li Mei Yen (P) bersama-sama dengan Chow Mei Keun (P) telah memenangi pingat emas dalam acara beregu wanita.

Zulfadli Zulkifli menang pingat emas dalam acara perseorangan lelaki. Chow Mei Kuen berpasangan dengan Teo Ee Yi (L) telah memenangi pingat emas acara beregu campuran.
Yang Li Lian dengan Sonia Cheah telah memenangi pingat perak dalam acara beregu wanita.

Sonia Cheah telah memenangi pingat perak dalam perseorangan wanita. Li Mei Yen juga berpasangan dengan Nelson Heg (L) memenangi pingat gangsa acara beregu campuran.
Pemain badminton Li Mei Yen, Chow Mei Kuen dan Soong Joo Ven (L) adalah merupakan pemain remaja yang masih lagi menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Sementara Nelson Heg, Teo Ee Yi, Yang Li Lian dan Sonia Cheah adalah merupakan bekas murid SSBJ.

Kejayaan atlet memanah dan atlet badminton remaja ini sedikit sebanyak adalah hasil sumbangan dari Program SPTS yang mana meletakkan PLD atau SSN atau SSM sebagai sebahagian daripada struktur pembangunan sukan prestasi tinggi sekolah.

Oleh kerana MSN tidak lagi mengendalikan program yang melibatkan atlet remaja di sekolah seperti Program Tunas Cemerlang atau Program Bakat Khas Olahraga sebagai mana yang pernah diwujudkan di Sekolah Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang, maka program SPTS adalah satu-satunya yang membekalkan atlet remaja.

Walaupun program SPTS ini perlu dimantapkan lagi tetapi sudah ada hasil yang menunjukkan bahawa program ini berjaya dan akan menjadi lebih berjaya lagi pada masa hadapan melalui tindakan-tindakan pembaikan.

No comments:

Post a Comment