Sunday, September 11, 2011

Terengganu Diminta Sedia Kertas Kerja Cadangan 'Bin dan Binti'

Kerajaan Terengganu diminta segera mengemukakan kertas kerja mengenai cadangannya supaya anak tidak sah taraf mempunyai bin atau binti dengan nama bapa kepada Kerajaan Pusat secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika membuat permintaan itu menyarankan kerajaan Terengganu agar mengambil kira konteks hukum syarak dalam kertas kerja tersebut.

"Kertas kerja ini perlu lengkap dan berlandaskan hukum syarak supaya boleh dibincangkan sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana saya melihat ia (cadangan) baik.

"Bagaimanapun kita juga perlu melihat dalam konteks hukum iaitu melalui ayat al-Quran berbunyi 'panggillah mereka itu dengan nama bapa-bapa mereka' dalam pengertian bin mereka yang sebenar," katanya semasa diminta mengulas cadangan kerajaan Terengganu mengenai perkara itu baru-baru ini.

Jamil Khir yang ditemui pada majlis Multaqa Penyelia, Guru Kafa dan Guru Takmir Zon Tengah di Regency Jerai Hill Resort dekat Yan, semalam, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia berbincang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai pelbagai persoalan hukum daripada cadangan tersebut.

Kerajaan Terengganu dalam cadangannya juga merumuskan mekanisme dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk JPN bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa.

"Dalam kontek pentadbiran pusat, mungkin kita boleh duduk bersama dengan JPN dan bermuzakarah dengan Majlis Fatwa bagi mendapatkan kepastian sama ada ia boleh dilaksanakan," kata Jamil Khir.

No comments:

Post a Comment