Sunday, September 11, 2011

Terengganu Kukuh Kedudukan, T’Team Kecundang Kepada Kuala Lumpur

Pemain Kelantan, Nurul Azwan Roya (kanan) cuba melepas benteng pertahanan Johor FC dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam tadi.

Terengganu menang lagi, kali ini di tempat sendiri pada ketika T’Team rebah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kepada Kuala Lumpur.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mendahului seawal minit pertama menerusi Ashaari Samsudin.

Namun Terengganu dipaksa bekerja keras mempertahankan asakan juara Liga Perdana, PKNS yang dua kali menyamakan kedudukan sebelum Manaf Mamat (gambar kiri) mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

PKNS yang dikejutkan dengan gol awal Ashaari dan hanya memerlukan lapan minit untuk mengikat kedudukan menerusi Fauzan Dzulkifli, sambil Zamri Hassan (m-62) memadam jaringan kedua Reeshafiq Alwi (m-54).

Di Stadium MP Selayang, Kuala Lumpur terus selesa di tangga teratas Kumpulan D apabila merakam kemenangan kedua dengan Yong Kuong Yong muncul wira meledak dua gol (m-26, 47) ketika menewaskan T-Team 2-1Piala Malaysia.

Sementara Kelantan memerlukan jaringan Ramzul Zahini Adnan, dua minit sebelum tamat di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, untuk memastikan kemenangan 2-1 selepas Johor FC membuat kejutan menerusi gol Eddy Helmi Manan pada minit ke-11.

Shakir Shaari mengikat kedudukan sebelum Ramzul memberikan tiga mata buat juara bertahan itu pada minit ke-88.

Nurul Azwan Roya (dua dari kanan) diasak pemain Johor FC, Mohd Riduwan Ma'on di Kota Bharu malam tadi.

Dalam saingan Kumpulan D, juara 32 kali, Selangor kembali menemui sentuhan apabila menewaskan Polis 2-0 di Stadium Shah Alam.

Tindakan penyerang Fadzli Saari menukar but sebaik babak kedua membawa tuah apabila menolak masuk lorongan Amirulhadi Zainal pada minit ke-46 untuk gol pertama tuan rumah sebelum meledak gol kedua pada minit ke-59 hasil hantaran Safiq Rahim yang baru seminit masuk menggantikan Fitri Shazwan Raduwan.

Bagaimanapun, skuad bimbingan K. Devan itu mempamerkan aksi hambar pada separuh masa pertama dengan hanya melakukan beberapa percubaan kurang mengancam ke kubu PDRM.

Selangor tidak menunggu lama untuk memberi ancaman kepada PDRM apabila mereka melakukan percubaan pertama seawal minit kelima melalui Rudie Ramli namun ia tersasar keluar.

Peluang kedua tuan rumah hadir 10 minit kemudian melalui pemain kebangsaan, Amirulhadi Zainal yang melakukan rembatan leret dari dalam petak penalti bagaimanapun ia hanya melintasi pintu gol lawan.

PDRM yang banyak bertahan pada aksi separuh masa pertama sekali lagi diuji pasukan tuan rumah kali ini melalui pemain sayap kiri, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan selepas menerima hantaran lintang Rudie namun rembatannya ditepis penjaga gol, Muhammad Hamdan Sairi.

Dalam saingan Kumpulan A, Sabah dan Perak berkongsi tangga teratas dengan jumlah mata dan jaringan sama selepas masing-masing merakam kemenangan 2-1 ke atas Kedah dan Johor malam tadi.

Di Stadium Likas, Sabah mengubati kekecewaan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama menentang Perak Selasa lalu dengan menundukkan Kedah 2-1, hasil jaringan Zainizam Marjan (m-27) dan pemain gantian, K Thanaraj (m-77) tatkala Azmi Muslim merapatkan kedudukan buat Kedah empat minit sebelum tamat.

Di Stadium Perak, tuan rumah yang turun tanpa lima tonggak digantung, membuka jaringan menerusi Failee Ghazali pada minit ke-29 diikuti sepakan penalti Shafiq Jamal (m-73) sebelum Azuwad Arip merapatkan jurang untuk Johor tiga minit sebelum tamat permainan.

Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman apabila menjadikan Sime Darby FC sebagai belasahan dengan kemenangan besar
5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Hairuddin Omar meletakkan skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah di depan menerusi jaringan pada minit ke-33 selepas memanfaatkan bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil, sebelum Shahurain Abu Samah meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Shukor Adan menambah derita Sime Darby dengan gol ketiga hasil sepakan bebas 20 meter pada minit ke-64 sebelum Hairuddin (m-72) dan Mohd Firdaus (m-79) melengkap pesta gol tuan rumah.

Saingan Kumpulan C menyaksikan FELDA United merampas tangga teratas selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Skuad kendalian E Elavarasan merakam kemenangan kedua selepas menundukkan Johor FC 2-0 Selasa lalu, dan kali ini Nizam Abu Bakar menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.

Sumber - Berita Harian/Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment