Wednesday, September 21, 2011

Tiada Bayaran Tambahan Dikenakan Meskipun Pengurusan Sisa Pepejal Diswastakan

Tiada bayaran tambahan atau caj baru dikenakan kepada orang ramai berikutan penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal di bawah Akta 672, yang berkuatkuasa mulai 1 Sept lalu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Chor Chee Heung.

Chor berkata cukai pintu yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini akan dikekalkan tanpa membebankan rakyat.

"Bagi rakyat, apa jua kadar yang mereka bayar kepada PBT masing-masing adalah tetap sama. Tiada apa-apa pertambahan dari segi caj. Pertambahan dan perbezaannya akan ditanggung oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Tripartit sempena penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Putrajaya, kelmarin.

Perjanjian antara tiga syarikat dengan kerajaan persekutuan yang diwakili KPKT dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga syarikat konsesi itu ialah Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan zon tengah dan timur, yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan; SWM Environment Sdn Bhd bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan; serta Environment Idaman Sdn Bhd bagi menguruskan zon utara Kedah dan Perlis.

Chor berkata perjanjian konsesi masih mempunyai peruntukan yang mampu mengawal selia syarikat konsesi seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, yang mana akan dikuatkuasakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun pertama pelaksanaan perjanjian itu.

Jelasnya sebarang pelanggaran KPI itu mengakibatkan syarikat konsesi terbabit dikenakan denda dan pemotongan markah atau mengakibatakan konsesi ditamatkan.

Katanya antara pembaharuan segera yang akan dilakukan oleh tiga syarikat konsesi tersebut ialah pengagihan tong-tong sampah yang berpenutup, beroda dan mesra alam kepada premis-premis; perolehan jentera kompaktor baru.

"Kerajaan pula akan memberikan penekanan yang lebih terhadap kaedah pelupusan sisa pepejal yang lebih moden dan mesra alam melalui pembinaan 11 buah tapak pelupusan sanitari baru di seluruh negara dan menaiktaraf tapak-tapak yang telah penuh atau menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui talian bebas tol 1-800-88-7472.

No comments:

Post a Comment