Seorang timbalan pendakwa raya diacu dengan pistol ketika berhenti di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail di Kuala Terengganu, kelmarin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian berlaku pada 11 pagi ketika Zalina Awang, 39, bersama anak perempuannya berumur 14 tahun, dalam perjalanan ke sebuah kedai.
"Ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, mangsa didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal yang mengetuk cermin keretanya.
"Apabila mangsa menoleh ke arah tingkap, lelaki dipercayai berusia 50-an itu secara tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol dari raga motosikalnya dan terus mengacukannya ke arah muka mangsa selama dua minit,” katanya kepada pemberita semalam.
Jamshah berkata, dalam keadaan takut dan cemas, Zalina bertindak memandu keretanya beberapa meter ke hadapan setelah lampu isyarat bertukar hijau dan seterusnya memandu ke arah Jalan Syed Husin tetapi lelaki itu mengekorinya.
Bagi mengelak kejadian tidak diingini, beliau memberhentikan keretanya di hadapan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, menyebabkan lelaki itu terus meninggalkan tempat itu, katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment