Thursday, September 15, 2011

Tingkatkan Dahulu Liputan Perkhidmatan Telekomunikasi

Pengendali utama telekomunikasi di negara ini digesa mempertingkatkan liputan perkhidmatan terlebih dahulu sebelum mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna pelan prabayar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana liputan di beberapa kawasan termasuk ibu negara masih berhadapan dengan masalah.

"Selaku menteri yang menjaga kebajikan masyarakat luar bandar, ini (kenaikan caj perkhidmatan) sangat membebankan golongan itu.

''Mereka (pengendali telekomunikasi) perlu fikir tentang keupayaan masyarakat. Caj enam peratus itu tinggi kalau hendak dibandingkan dengan keupayaan rakyat.

"Pertingkatkan dahulu beberapa prasarana. Beberapa kawasan masih tiada liputan. Kalau saya balik ke Semporna, Sabah pun masih berhadapan dengan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai modal insan keusahawanan tayar dan penyelenggaraan kenderaan di antara Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), Kualiti Rahmat Sdn. Bhd. dan yayasan-yayasan negeri di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment