Tuesday, September 20, 2011

Tolong Timbang Semula Permohonan Lot Rumah di Setar Kanan

Sebilangan penduduk di Kampung Setar Kanan, mukim Jerung di sini memohon jasa baik wakil rakyat di kawasan itu membantu bagi membolehkan permohonan mereka untuk mendapatkan lot rumah di kawasan itu sejak 2005 ditimbang semula.

Permohonan yang belum diluluskan itu menyebabkan mereka tertanya-tanya atas alasan apa Jawatankuasa Tanah Daerah menolak kerana umumnya mereka amat berharap mempunyai tanah sendiri di kampung kelahiran, apatah lagi tiada halangan daripada jabatan-jabatan lain.

Mustafa Kamal Mohamad, 45, berkata, penduduk berharap mereka tidak menjadi mangsa pihak yang berkepentingan sehingga menyebabkan permohonan mereka diketepikan.

”Sepatutnya penduduk asal di sini mempunyai tanah sendiri dan bukan sekadar menumpang tetapi orang dari kawasan lain pula menjadi pemilik,” ujarnya.

Mustafa adalah antara 40 penama dalam surat permohonan untuk tanah berkelompok seluas 24,056 meter persegi di mukim Jerung bertarikh 21 Ogos 2005.

Permohonan mereka difahamkan telah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Abdul Rahman Che Ali pada 17 Ogos 2010 dan ditolak oleh jawatankuasa.

Sehubungan itu rayuan telah dikemukakan pada Oktober 2010 bersama surat sokongan daripada Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, namun tidak lagi dipertimbangkan.

Sementara itu, Ibrahim Mohd. Nor, 54 , berkata, dia tidak tahu atas alasan apa penolakan itu dibuat kerana dia percaya, kesemua mereka layak untuk memohon tanah tersebut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment