Friday, September 16, 2011

T'Shoppe - Mana Ada Gulung Tikar?

Hanya dua daripada 18 rangkaian kedai peruncitan T’Shoppe yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri terpaksa ditutup, manakala bakinya beroperasi seperti biasa dan meraih keuntungan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, dua yang ditutup berpunca daripada lokasi tidak strategik serta masalah kewangan.

“Yang tutup hanya dua iaitu di Gong Kapas di sini, dan di bandar Marang kerana masalah lokasi yang kurang strategik selain pengusaha tidak mampu membayar sewa kepada pemilik bangunan,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan pembangkang bahawa banyak kedai runcit terbabit gulung tikar.

“Tidak benar kebanyakan mereka tidak untung kerana ada di antara pemilik cawangan T’Shoppe mampu memperoleh nilai jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 sehari,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menyediakan rangkaian kedai peruncitan itu sebagai platform untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera, selain menjadikannya tempat memasarkan hasil industri kecil dan sederhana (IKS) Terengganu.

Pada masa sama, Mohamed berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan usahawan runcit lain termasuk pengusaha pasar raya bagi mengurangkan saingan yang dihadapi pengusaha T’Shoppe.

“Selain itu, kita juga sedang memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membolehkan rangkaian kedai T’Shoppe ini menjual barangan kawalan keperluan harian seperti tepung, minyak, dan gula untuk menjadikannya sebagai antara tempat pilihan rakyat untuk membeli barangan,” katanya.

Menurutnya, Yayasan Pembangunan Usahawan menerusi anak syarikatnya Cakna Sdn Bhd juga giat menjalankan promosi untuk mempopularkan rangkaian kedai peruncitan itu.

Selain di Terengganu, rangkaian kedai T’Shoppe turut beroperasi di Melaka serta Kuala Lumpur, dan Kerajaan Negeri mensasarkan penubuhan 100 cawangan menjelang 2013.

No comments:

Post a Comment