Monday, October 31, 2011

APMM Kekal Dua Kapal Dan Tiga Bot Laju Awasi Perairan Musim Tengkujuh

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengekalkan dua buah kapal dan tiga bot peronda bagi mengawasi perairan Pantai Timur Semenanjung pada musim tengkujuh nanti.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur Kapten Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata ia bertujuan untuk membantu dan memberikan pertolongan sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini di laut.

"Kapal dan bot berkenaan akan beroperasi setiap masa pada musim tengkujuh ini di negeri-negeri berkenaan," katanya kepada kelmarin.

Dalam pada itu, Syed Mohd Fuzi mengingatkan orang ramai yang hendak melancong ke pulau-pulau pada musim tengkujuh supaya berhati-hati dan berwaspada.

Beliau berkata ini kerana keadaan laut membahayakan bot-bot dan orang ramai diharap tidak mengambil risiko selain semua pulau-pulau tarikan pelancong di Terengganu sudah ditutup.

"Kita tidak mahu insiden seperti pelancong terkandas di Pulau Kapas, berulang," katanya.

Kepada nelayan sepenuh masa atau nelayan sambilan pula, Syed Mohd Fuzi menasihatkan mengutamakan keselamatan seperti membawa alat perhubungan dan sebagainya.

"Lebih penting lokasi penangkapan hendaklah dimaklumkan kepada keluarga atau rakan bagi memudahkan pertolongan diberikan jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini ke atas mereka.

"Tanya orang berpengalaman atau dengar kaji cuaca untuk mendapat maklumat sebelum keluar ke laut," katanya.

No comments:

Post a Comment