Friday, October 28, 2011

Ayuh gegar Stadium Shah Alam

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap peminat bola sepak tempatan datang beramai-ramai menyaksikan final Piala Malaysia, Sabtu ini walaupun harga tiket dinaikkan kepada RM50.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, isu harga tiket tidak harus diperbesarkan kerana semua pihak termasuk kedua-dua pasukan yang beraksi pada perlawanan akhir itu bersetuju dengan kenaikan harga itu.

Kutipan tiket bukan 100 peratus milik FAM sebaliknya akan diagihkan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan dan Terengganu yang beraksi pada perlawanan akhir itu selain pelbagai perbelanjaan lain.

Duit itu juga akan diagihkan kepada semua pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) menerusi geran tahunan selain aktiviti pembangunan di semua peringkat.

“Saya harap semua pihak memahami situasi itu yang dianggap normal, malah kenaikan harga tiket kali ini tidaklah terlalu membebankan kerana ia hanya membabitkan perlawanan akhir Piala Malaysia saja.

“Ini bukan perkara baru untuk diperbesarkan hingga mendapat liputan meluas media, saya berpendapat mereka yang suka bola sepak tempatan dan ingin melihat mutunya terus meningkat pasti tak terjejas memberi sokongan,” katanya.

Berikutan itu, Sultan Ahmad Shah meminta penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan mengetepikan isu kenaikan harga tiket final Piala Malaysia.

Baginda menyeru mereka datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam malam esok bagi memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing yang berentap memburu Piala Malaysia musim ini.

"Kalau dapat 80,000 orang datang adalah baik untuk kedua-dua pasukan, bukan kepada FAM.

"Kasihan juga pasukan negeri- negeri telah belanja berjuta-juta untuk memperbaiki pasukan masing- masing.

"Marilah kita beramai-ramai menyokong kedua-dua pasukan ini. Dalam masa sama, menolong menambahkan pendapatan daripada jualan tiket kepada kedua-dua pihak," titah baginda selepas merasmikan Kem Force 136, Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan semalam.

FAM telah memutuskan harga tiket final bagi kesemua tempat duduk termasuk grandstand adalah RM50, manakala tiket bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula dijual pada harga RM5 seorang.

Bagaimanapun, harga tiket itu telah menimbulkan bantahan penyokong dan beberapa pihak lain dan menurut baginda, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad telah menjelaskan bahawa kenaikan harga tiket itu adalah bagi tujuan menampung pelbagai perbelanjaan yang meningkat.

Sultan Ahmad Shah bertitah, FAM tidak akan mengubah harga tiket yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua persatuan bola sepak negeri berkenaan.

Bagaimanapun menurut baginda, FAM akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak selepas perlawanan itu bagi memastikan tidak wujud masalah pada masa depan.

"Tinggal beberapa jam lagi nak sepak mula, takkan nak tukar," titah baginda.

Bagi membantu penyokong, Kerajaan Negeri Terengganu memberi subsidi RM25 untuk 30,000 tiket yang diperuntukkan, manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pula memberikan potongan RM20.

Ditanya mengenai penyokong yang menyalahkan FAM berhubung isu itu, Sultan Ahmad Shah bertitah: "Jawatankuasa (Tiket dan Pertandingan Tempatan) dah putuskan, ia baik untuk kedua-dua pasukan."

Harian Metro/Kosmo!

No comments:

Post a Comment