Wednesday, October 5, 2011

BN Marang Harapkan Yahya, Rahman & Muda Berganding Bahu..

Perpaduan pemimpin di Marang jelas kelihatan apabila ada program turun padang di kawasan Parlimen berkenaan.

Analisis Hambali Abdul Latiff

Barisan Nasional (BN) mampu menawan kerusi Parlimen Marang kerana ada tiga pemimpin penting diharapkan berganding bahu menawan PAS di kawasan berkenaan.

Syaratnya semua pihak perlu bekerja keras memenangkan BN dan semua mereka perlu mencari persefahaman dan persamaan – menolak perbezaan.

Pemimpin seperti Datuk Yahya Khatib Mohamad, Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Muda Mamat mampu membawa UMNO Marang ke tahap yang lebih bermaruah.

Yahya ialah Ketua Bahagian UMNO, Exco Kerajaan dan yang penting ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri selain ADUN Pengkalan Berangan sementara Abdul Rahman ialah bekas Ahli Parlimen, Senator selain Pegawai Pembangunan Parlimen sementara Muda pula kini Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Perhubungan Terengganu.

Yahya memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Marang apabila dia mengalahkan Abdul Rahman Bakar, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dan bekas Ahli MT. Ini bermakna dalam UMNO Marang, Yahya adalah ‘giant killer’ kerana menewaskan Abdul Rahman.

Yahya bukan calang-calang kerana naik dalam karier politiknya di Marang dan Terengganu apabila memenangi kerusi DUN Pengkalan Berangan pada tahun 2004,setelah menewaskan Exco Kerajaan Pas Terengganu, Mustafa Ali dengan majoriti 1371 undi.

Pada PRU12 beliau berjaya mempertahankan kerusi ini dengan kelebihan 930 undi, menewaskan calon PAS, Mohamad bin Deraman. Jumlah pengundi pada pilihan raya 2008 ialah 19,588 (M: 95.5% C: 4.24% I: 0.15% L: 0.09%).

Yahya mendapat 8,900 undi dan calon PAS itu mendapat 7,970 undi dengan peratus keluar mengundi sebanyak 87.63%.

Abdul Rahman sebelum ini digelar ‘giant killer’ kerana menewaskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua kali di kerusi Parlimen mampu menyumbang tenaga walaupun akhir-akhir ini sedikit terganggu kerana masalah kesihatan.

Bagi kerusi DUN N19 Rhu Rendang, jumlah pengundi pada 2008 ialah 18,798 (M: 99.17% C: 0.51% I: 0.14% L: 0.17%). Hadi menang dengan majoriti 2,686 apabila mendapat 9,379 berbanding Razali Idris (BN) hanya 6,693. Peratus Mengundi adalah 86.23%.

Muda ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Marang selama 21 tahun (1983-2004) dilantik sebagai Pengerusi Pemantau UMNO Perhubungan Terengganu menggantikan Allahyahram Datuk Awang Jabar yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.

Muda juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selama dua penggal (1986-1995) dan memegang portpolio Jawatankuasa Kemudahan Awam (penggal pertama) dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Peniaga Kecil(penggal kedua).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Binjai kini dikenali Pengkalan Berangan, Marang selama 17 tahun (1982-1999).

Bagi Muda yang diharapkan lebih banyak menyumbang kepada parti mengharapkan semua pemimpin BN dari empat peringkat (bahagian, cawangan, wanita, pemuda, puteri) perlu mencontohi sikap Perdana Menteri dan Menteri Besar yang sentiasa turun ke bawah mendekati rakyat pada setiap hari dan masa.

“Sentuhan yang diterima daripada pemimpin atasan, mampu menarik perhatian masyarakat di peringkat akar umbi,” kata Muda seperti dipetik Teganukita semalam.

Beliau yang baru dilantik ke jawatan berkenaan berkata, apa yang disuarakan itu hasil gerakan kerja keseluruh negeri oleh jawatankuasa pemantau di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Awang Jabar mengadakan perjumpaan dan dialog bersama masyarakat tempatan.

“Setelah melihat dan berjumpa dengan sebahagian besar pengundi di peringkat akar umbi, saya yakin mereka tetap sayangkan parti yang memerintah dan BN mampu menguasai dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,” katanya.

Walaupun Muda melihat secara keseluruhan, peranan beliau tetap penting untuk memenangkan dua kerusi DUN iaitu Rhu Rendang yang dikuasai Hadi dan satu lagi kerusi iaitu DUN Bukit Payong dikuasai oleh PAS.

Bagi N18 Bukit Payong ialah pada 2008 ia mempunyai 16,733 pengundi (M: 99.40% C: 0.37% I: 0.11% L: 0.10%) dan PAS menang dengan majoriti 115 sahaja apabila Mohd. Nor Hamzah (Pas) mendapat 7,324 sementara Zaidi Muda (BN) mendapat 7,209. Peratus keluar mengundi ketika itu ialah 87.63%

Satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Marang iaitu Alor Limbat dimenangi ADUN BN, Alias Abdullah dengan majoriti 799 undi. Alias turut memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,153.

Harapan ialah kesemua jentera parti dalam Parlimen Marang akan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya dan mencari titik persamaan yang jitu, iaitu memenangkan BN di Parlimen dan setidak-tidaknya di tiga kerusi DUN.

Sama ada Yahya, Muda atau Abdul Rahman, selain Alias serta dua lagi Pegawai Pembangunan DUN, Zaidi Muda di Bukit Payong dan Pegawai Pembangunan DUN di Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku, jika pun ada perbezaan kecil, ia perlu dilupakan dan disisih jauh-jauh untuk seketika.

Kesepakatan dan kepaduan mereka akan membawa kemenangan kepada BN kerana jumlah perbezaan undi yang dimenangi PAS khususnya di Bukit Payong begitu kecil.

Sementara Hadi bukanlah tokoh yang disegani lagi kerana dalam PAS pun beliau semakin dipencilkan kerana tidak memberikan kepentingan kepada menegakkan negara Islam dan Hudud sebaliknya mementingkan Negara Kebajikan yang semakin tidak popular di kalangan ahli PAS!

No comments:

Post a Comment