Friday, October 28, 2011

Dua Kes Jangkitan Kencing Tikus di Terengganu

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengesahkan dua kes jangkitan wabak air kencing tikus atau virus Leptospirosis dikesan di Terengganu awal bulan ini.

Katanya, hasil ujian sampel daripada 24 Orang Asli di kawasan penempatan Sungai Berua, Hulu Terengganu hanya dua dikesan mendapat jangkitan itu.

"Manakala seramai 13 lagi Orang Asli disahkan menghidap hepatitis A atau penyakit kuning manakala sembilan yang lain masih belum diketahui statusnya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan program NCDP 1Malaysia Cakna Kesihatan Dalam Komuniti Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang hari ini.

Sebelum ini,Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkatahanya dua Orang Asli Sungai Berua dijangkiti virus air kencing tikus.

Menurutnya, daripada 24 orang yang mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), 13 orang pula dijangkiti virus Hepatitis A dan ia disahkan melalui pemeriksaan dilakukan terhadap mereka.

“Sembilan lagi masih belum dikenal pasti penyakit mereka dan kini kita tunggu keputusan makmal dari Kuala Lumpur,” katanya.

Semua mangsa dihantar menjalani pemeriksaan di hospital selepas alami simptom mata kuning.

Namun, katanya, keadaan mereka tidak membimbangkan dan kesemuanya sudah dibenarkan pulang, kecuali seorang pesakit yang masih dirawat di HSNZ.

Hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri, masalah itu didapati berpunca daripada penggunaan air tidak bersih dalam kehidupan seharian masyarakat Orang Asli berkenaan.

“Virus Hepatitis A dan air kencing tikus disebabkan oleh pencemaran air dan makanan, dan kita dapati daripada 60 rumah yang ada di perkampungan Orang Asli itu, lebih 50 rumah tidak mempunyai bekalan air bersih.

“Penduduk bergantung sepenuhnya kepada air sungai dan ini menyebabkan mereka mudah terdedah dengan virus berbahaya ini. Oleh itu saya harap mereka dapat dibekalkan dengan air bersih bagi menjamin kualiti hidup,” katanya.

Laporan akhbar sebelum ini mengatakan, 11 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua dikuarantin kerana demam panas dan mempunyai simptom menyerupai virus kencing tikus.

1 comment: