Pengadil, Nafeez melayangkan kad merah kepada pemain Kelantan Mohd Shakir Shaari (dua dari kanan) ketika aksi suku akhir Piala Malaysia, kelmarin.
Siapa paling beremosi ketika Kelantan melawan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin?
Banyak pihak, khususnya peminat bolasepak mempersoalkan keputusan pengadil melayangkan lima kad merah dalam perlawanan Terengganu menentang Kelantan pada suku akhir pertama, kelmarin.
Pada perlawanan itu pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab turut melayangkan 10 kad kuning.
Dalam bola sepak, kekasaran merupakan perkara biasa tetapi pengadil harus bijak mengawal perlawanan.
Semalam dua tokoh dari Pantai Timur - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa - dengan nada kecewa, menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya meneliti proses pemilihan pengadil.
Namun, perlawanan yang dianggap ‘Pertembungan Pantai Timur’ itu dicemari dengan layangan lima kad merah masing-masing dua kepada pemain Terengganu (Ismail Faruqi dan Zubir Azmi) sementara tiga kepada pemain Kelantan iaitu Daudsu Jamaludin, Mohd. Aziz Ismail dan Mohd. Shakir Shaari.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Terengganu berjaya mendapat bekalan selesa menjelang aksi suku akhir kedua apabila menang 3-1.
Keputusan Mohd. Nafeez di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, dilihat menjejaskan rentak perlawanan kedua-dua pasukan.
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyifatkan lima kad merah dan 10 kad kuning oleh pengadil, Mohd. Nafeez pada suku akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Terengganu kelmarin, memang menjejaskan rentak perlawanan kedua-dua pasukan.
"Saya lihat pengadil terlebih emosi berbanding pemain dan penyokong. Keputusan pengadil perlu tepat kerana ia akan mengubah corak perlawanan," kata Timbalan Presidennya, Mahizi Mahood.
Baginya, jika pengadil bijak mengawal suasana sepanjang perlawanan, kejadian tidak akan seperti itu.
"Sekiranya perlawanan tersebut diadili oleh mereka yang berpengalaman, perkara ini mungkin tidak berlaku.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya memilih pengadil yang berwibawa untuk perlawanan ini, memandangkan ia mempertemukan dua pasukan yang penuh dengan tradisi tersendiri.
"Perlawanan penting seperti ini seharusnya diadili oleh pengadil terbaik. Saya harap FAM dapat menilai semula prestasi pengadil untuk perlawanan akan datang. Pada perlawanan semalam saya lihat banyak keputusan pengadil menimbulkan keraguan di kalangan peminat.
Beliau akui kesalahan yang dilakukan oleh Daudsu wajar diberikan kad merah kerana ia membuat terjahan keras dari belakang.
Namun kesalahan yang dilakukan Ismail Faruqi sepatutnya tidak dilayangkan kad tetapi wajar diberikan amaran," katanya semalam.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Azmi Wan Ngah berkata, pengadil sepatutnya mengawal permainan dengan tenang dan bukannya mencari kesalahan para pemain untuk dilayangkan kad kuning.
“Layangan lima kad merah dalam satu perlawanan memang tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak negara dan ia cukup-cukup memalukan. Tindakan pengadil bukan sahaja membuatkan para pemain jadi tertekan, malah dianggap sebagai provokasi secara senyap kepada para penyokong kedua-dua pasukan,” jelasnya.
Jelas Wan Mohd. Azmi lagi, sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti sistem pengadilan bola sepak di negara ini yang dianggap kerap menimbulkan kontroversi.
“Kita lihat pengadil seolah-olah mempunyai 'kuasa kebal' untuk menghukum pemain, sedangkan mana-mana jurulatih yang mengkritik sistem pengadilan akan menerima hukuman. Jadi, FAM perlu bersikap lebih adil dengan mendengar suara kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Presiden Terengganu FC (TFC), Hazrul Hanafi pula berkata, tindakan pengadil yang melayangkan lima kad merah kelmarin telah merosakkan mutu permainan kedua-dua pasukan.
Hakikatnya semua tahu dan rakyat Kelantan dan Terengganu akui kedua-duanya ‘bermusuh di padang’ tetapi “kedua-duanya merupakan dua pasukan terbaik di negara ini.
Namun ekoran daripada tindakan pengadilan yang lemah, permainan yang sepatutnya menjadi baik telah bertukar seperti medan pertembungan sepereti ‘peperangan’.
Sumber - Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian
No comments:
Post a Comment