Tandukan terbang Hairuddin mampu membolosi gawang Terengganu yang menyaksikan beliau menjaringkan dua gol malam kelmarin. Gambar Harith Fadzillah
Ramai bercakap mengenai Manaf Mamat yang mencipta dua gol untuk pasukan Terengganu di Shah Alam.
Namun malam kelmarin, di Kuala Terengganu, satu lagi perlawanan seprauh akhir Piala Malaysia tidak kurang hebatnya dengan kelibat Hai-O atau Hairuddin Omar.
Tonggak Negeri Sembilan itu kini dikatakan sudah mula ghairah mahu beraksi dalam final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selepas menyumbat dua gol, malam kelmarin.
Pada 2009 dia mewakili Negeri Sembilan manakala pada 2010 mewakili Kelantan dengan memenangi pingat kejuaraan pada kedua-dua edisi berkenaan.
Dia yang juga dikenali sebagai Hai-O turut menjaringkan gol dalam dua pentas final berkenaan dan andai Negeri Sembilan ditakdirkan layak dia mahu menyumbat gol di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober ini.
“Secara peribadi memang saya memasang impian besar beraksi di final Piala Malaysia kali ketiga berturut-turut. Saya harap mampu mampu merealisasikan cita-cita itu kali ini, katanya yang menyumbang dua gol membantu skuad Rusa mengatasi T-Team 4-2 dalam saingan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu.
“Sekarang ini saya tidak mahu terlalu memikirkan untuk ke final tapi memberi fokus 100 peratus untuk perlawanan Sabtu ini di tempat sendiri,” katanya.
Berpandu kepada jumlah jaringan perlawanan separuh akhir pertama, skuad Hoben Jang Hoben mungkin tidak berdepan sebarang masalah mengatasi kelab dari Pantai Timur itu dan mereka kini hampir pasti layak ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Bagi jurulatih Terengganu, Yunus Alif dia tidak terkejut dengan kemampuan Hairuddin yang mudah merobek gawang pasukannya kerana menyedari pengalaman yang dimiliki pemain kelahiran Terengganu ketika bersama T-Team dua tahun lalu.
Malah katanya, dia sendiri telah memberi peringatan kepada anak-anak buahnya agar sentiasa mengawasi pergerakan penyerang kental itu sepanjang 90 minit permainan.
“Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan kami mudah dibolosi empat gol walaupun beraksi di gelanggang sendiri. Salah satunya adalah perasaan gentar yang ada pada pemain apabila beraksi di peringkat genting seperti ini.
“Namun, faktor utama pasti kepada Hairuddin kerana dia merupakan bekas pemain T-Team dan tahu kemampuan pasukan ini.
Dalam masa sama, pemain saya pula terutamanya penjaga gol begitu gugup apabila melihat Hairuddin memegang bola.
“Sebab itulah Hairuddin mudah menjaringkan dua gol menerusi tandukan kerana tiada pemain yang mengawalnya,” jelas Yunus.
Jurulatih T-Team itu mengakui tugas sukar terpaksa dilalui anak-anak buahnya di Paroi, Sabtu ini dalam misi menyekat kelebihan besar tuan rumah yang berjaya meledak empat gol pada aksi kelmarin.
Katanya, pemain T-Team tiada jalan lain untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini selain bangkit dengan satu corak permainan menyerang habis-habisan.
"Laluan kami begitu sukar dan sejak dari awal lagi saya sudah katakan Negeri Sembilan bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan,” katanya.
Pada aksi malam kelmarin, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit kelima sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-11.
Namun, pengalaman luas Hairuddin membolehkannya meletakkan Negeri Sembilan kembali di hadapan minit ke-25, sebelum tuan rumah sekali lagi menyamankan kedudukan hasil jaringan Nor Farhan Mohammad.
Detik kemusnahan T-Team bagaimanapun hadir pada minit ke-42 apabila Hairuddin meledak gol peribadi keduanya, diikuti jaringan keempat oleh S. Kunalan pada minit ke-50.
Sumber : Kosmo!, Utusan, Berita Harian
No comments:
Post a Comment