Monday, October 10, 2011

Insentif Tuntut Produktiviti Penjawat Awam

Pada Bajet 2012, 1.3 juta penjawat awam ‘dihadiahkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak beberapa insentif termasuk:

1. Had umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun;

2. Kenaikan gaji tahunan yang lebih baik;

3. Pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500.

Sudah pasti semua kini menunggu apa pula kandungan Bajet Terengganui 2012 yang akan dibentangkan pada awal Disember nanti.

Kita mahu dengar apa pula komitmen ketua pentadbir Terengganu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah mengenai ‘imbuhan’ kerajaan persekutuan melalui Bajet 2012.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, penjawat awam perlu bekerja lebih rajin dan meningkatkan produktiviti mereka selepas mendapat kenaikan gaji dan pemberian bonus dalam Belanjawan 2012.

Beliau berkata, pemberian imbuhan itu merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan oleh semua penjawat awam tanpa mengira pangkat.

"Saya meminta penjawat awam meningkatkan prestasi dan produktiviti mereka dari semasa ke semasa dalam memastikan negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dan menjadi sebuah negara yang kompetetif dalam semua sektor seperti ekonomi, pendidikan dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mewakili Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah merasmikan majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-27 di kampus universiti itu di Gombak.

Di Langkawi, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap penjawat awam di negara ini yang berjumlah 1.3 juta orang dapat meningkatkan produktiviti, prestasi kerja dan disiplin berikutan beberapa insentif yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2012 semalam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam harus bersiap sedia untuk menambah baik perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, CUEPACS mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan beberapa insentif kepada penjawat awam pada pembentangan Belanjawan 2012 di Parlimen kelmarin.

"Ini adalah satu lagi kejutan yang diberi oleh kerajaan untuk penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak) di Langkawi.

Omar berkata, CUEPACS menyanjung tinggi pengumuman itu kerana 80 peratus permohonannya diluluskan oleh kerajaan.

Malah menurutnya, umur persaraan yang diluluskan itu adalah selari dengan yang diamalkan oleh penjawat awam di negara ASEAN lain.

Kerana itu penjawat awam seharusnya mengubah sikap dan tidak harus berada di takuk lama untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Kita sama-sama tunggu apa komitmen penjawat awam Terengganu kerana mereka akan turut mendapat tempias yang diumumkan Perdana Menteri, selain menjamin slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, terus dijayakan.

No comments:

Post a Comment