Monday, October 17, 2011

Irfan Minta Petua Daripada Yunus Ranapkan Selangor?

Aksi pemain T'Team ketika menewaskan Sabah di Kuala Terengganu, malam Jumaat lalu.

Pada ketika skuad Selangor mendapat motivasi terbaik menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, malam esok apabila bakal diiringi sokongan padu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti hanya mengharapkan petua.

Petua apa? Pastinya daripada Yunus Alif, jurulatih T'Team yang berjaya menewaskan Selangor dua kali pada saingan Piala Liga.

Yunus pastinya mampu membantu Irfan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan lawan untuk Terengganu 'meratah' Selangor di Stadium Shah Alam.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sokongan pasu Sultan Selangor diharap mampu menyemarakkan semangat pemain Selangor serta menggamit kehadiran penyokong setia Red Giants bagi merealisasikan ‘Misi 33’.

“Tuanku Sultan bersetuju menyaksikan perlawanan. Begitu juga Tan Sri (Khalid) yang juga Presiden FAS turut mengesahkan kehadiran.

“Kehadiran dua individu penting ini menunjukkan betapa penting untuk Selangor merealisasikan sasaran menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 musim ini,” kata Hamidin.

Irfan pula, menjelang ujian getir separuh akhir pertama, malam esok, beliau sudah pun memulakan ‘perang psikologi’ betapa Selangor barisan harus digeruni.

Irfan juga turut berhajat ‘meminjam formula’ pasukan adik, T-Team kerana pasukan kelab itu sudah beberapa kali menewaskan Merah Kuning dalam saingan Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Dia akan menghubungi Yunus Alif untuk meminta bantuan pada saat getir ini mendapatkan beberapa petua bagaimana mahu menumbangkan Selangor di laman lawan.

Jurulatih kepada skuad yang menjuarai Piala FA itu melihat saingan di Stadium Shah Alam itu pasti akan memberi kelebihan kepada tuan rumah pimpinan P Maniam dan akur mereka harus memberi fokus 100 peratus ketika lawan ghairah mencari modal selesa.

“Saya akur Selangor bukan lawan mudah untuk ditewaskan di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka. Tapi anak buah saya boleh melakukan sesuatu menyekat mereka dan memburu kemenangan sama seperti menewaskan Kelantan,” katanya.

Pengendali berpengalaman itu juga menegaskan trio penyerang Terengganu - Abdul Manaf Mamat, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahya bakal menjadi sandaran utama pasukan mencari gol di tempat lawan tapi percaya Selangor ada segala muslihat membendung mereka.

Satu lagi saingan peringkat sama membabitkan T-Team menentang bekas juara, Negeri Sembilan di Kuala Terengganu.

Sumber Berita Harian, Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment