Thursday, October 27, 2011
Juara Piala Malaysia - Manaf, Hadi & Marzuki Mahu Lakukannya
Ayam tambatan Negeri Sembilan - Hairuddin Omar yang dikenali Hai-O - berkata, empat pemain lawan iaitu Joseph Kalang, Manaf Mamat, Abd. Hadi Yahya dan Ashaari Shamsudian akan diberi perhatian kerana mereka merupakan pemain yang berbahaya dalam melancarkan serangan.
Katanya, perlawanan final mempunyai aura yang tersendiri, perlawanan yang berbeza dengan perlawan biasa di mana kedua-dua pasukan mempunyai matlamat yang satu iaitu mahu menjadi juara.
Bagi bintang Terengganu - Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahya dan kapten pasukan Marzuki Yusof - mahu memastikan pasukannya pulang bersama Piala Malaysia, Sabtu ini.
Manaf mahu menjadikannya sebagai hadiah buat Arwah bapanya, Mamat Mahmud (gambar kiri) yang meninggal dunia, awal bulan ini.
"Detik ini amat saya nantikan dan saya akan memastikan kemenangan sebagai hadiah untuk ayah. Meskipun beliau sudah tiada, namun beliau adalah pendorong saya untuk mencipta kejayaan," ujar Manaf yang kehilangan bapanya pada 14 Oktober lalu lalu.
Abdul Hadi Yahaya (gambar kanan) pula berikrar tidak mahu menghampakan penyokong Terengganu yang menaruh harapan tinggi kepadanya untuk memberikan persembahan paling cemerlang pada final Piala Malaysia, Sabtu ini.
Penjaring terbanyak Liga Super dan Piala FA itu berkata, dia akan turun dengan misi untuk mencipta sejarah gemilang dan membawa pulang trofi.
Malah Hadi, yang meledakkan 25 gol musim ini juga sudah mengukir sejarah peribadi apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.
Hadi menegaskan, hanya persembahan terbaik bersama rakan-rakan sepasukan di Stadium Shah Alam nanti dapat menebus aksinya yang agak hambar sebelum ini.
Bagi Marzuki, impian kesebelasan utama pasukan Penyu untuk menamatkan kemarau panjang selama 10 tahun bagi merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2001, hanya sekadar angan-angan sekiranya tiada semangat juang yang tinggi pemain.
Tonggak pasukan Terengganu, Marzuki Yusof menyifatkan, perjuangan memburu kejuaraan harus diiringi dengan semangat juang yang tinggi sekiranya ingin melihat piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air hinggap di bumi penyu itu.
Bagi Marzuki, kejayaan yang dikecap dalam beberapa siri perlawanan sebelumnya termasuk peringkat suku akhir ketika menentang The Red Wariors dan separuh akhir ketika bertemu Selangor, belum cukup untuk dijadikan sandaran bagi memastikan keputusan sama bakal dicatatkan dalam perlawanan akhir yang disifatkan amat getir itu.
Marzuki berkata, perlawanan akhir pada 29 Oktober nanti menjadi titik penghabisan perjuangannya bersama pasukan Terengganu dalam siri kejuaraan Piala Malaysia musim 2011.
“Ibarat askar di medan perang, kami akan berjuang habis-habisan, selagi wisel penamat belum ditiupkan, selagi itulah kami akan berjuang. Misi kami bukan setakat menempah tiket ke perlawanan akhir, sebaliknya membawa pulang Piala Malaysia, itulah harapan dan impian kami, bukan sahaja pemain, tetapi untuk rakyat negeri ini,” katanya.
Bagi Manaf, biarpun namanya semakin naik hasil kejayaan meledakkan gol ketika membenam Selangor di separuh akhir, namun Manaf tetap merendah diri.
Baginya, tiada sebarang kejayaan sudah dilakar selagi dia tidak membawa pulang piala, Sabtu ini.
Penyerang itu berkata, soal siapa yang menjaringkan gol tidak penting kerana ia permainan berpasukan, namun yang paling mustahak Terengganu menang seterusnya jadi juara Piala Malaysia kali ini.
"Berdasarkan keserasian yang baik dengan Abdul Hadi Yahaya dan Shaari Samsuddin, kami yakin dapat menggembirakan penyokong Terengganu," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Hadi pula menegaskan :"Saya juga mahu menebus dan memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu,'' katanya, semalam.
Mengenai prestasinya ketika menyingkirkan Selangor di separuh akhir, Hadi mengakui tertekan kerana gagal menjaringkan gol. "Saya memang tertekan ketika itu tetapi bukan tertekan kerana penyokong atau pasukan Selangor, sebaliknya kerana gagal menjaringkan gol dalam Piala Malaysia,'' katanya.
Marzuki menegaskan, pesanan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim agar rakan sepasukannya mengekalkan taktik menyerang sehingga tempoh 90 minit berakhir akan menjadi pedoman penting buatnya, biarpun ketika itu mungkin Terengganu sudah mendahului pasukan lawan.
Utusan Malaysia, Kosmo!,Teganukita
No comments:
Post a Comment